Selasa, 10 September 2019 | 5:20pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Majlis Perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

PAS perlu tarik balik Amanat Haji Hadi

ALOR SETAR: PAS diminta menarik balik Amanat Haji Hadi sebelum memuktamadkan kerjasama bersama UMNO melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada Sabtu ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata PAS sejak dahulu menuduh UMNO sebagai parti kafir dengan kenyataan di dalam Amanat Haji Hadi itu menyebabkan kerjasama baharu antara mereka sukar dilaksana.

“PAS dahulu kata UMNO kafir, kalau kerjasama dengan kafir maka PAS juga kafir. Kalau hendak kerjasama, PAS perlu tarik balik Amanat Haji Hadi dan kata UMNO sudah Islam balik.

“Kenyataan (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) itu masih ada, dia tidak pernah tarik balik secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, Abdul Hadi juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO kerana mengkafirkan parti itu sebelum membuat perjanjian baharu berkenaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama, mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan MoU pada 14 September ini.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta PAS dari seluruh negara.

2029 dibaca
Berita Harian X