Selasa, 10 September 2019 | 2:28pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada sesi lawatan di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru sempena Lawatan Kerja Menteri Pendidikan ke Parlimen Masjid Tanah. - Foto Khairunisah Lokman

JPN diberi kuasa tutup sekolah dilanda jerebu - Maszlee

ALOR GAJAH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara diberi kuasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing untuk mengarahkan penutupan sekolah jika kawasan itu dilanda jerebu teruk.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya memberi kebenaran sepenuhnya kepada JPN berbuat demikian kerana pihak terbabit lebih arif mengenai keadaan cuaca dan tahap keselamatan di kawasan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata, pihak sekolah juga perlu merujuk kepada arahan dikeluarkan JPN bagi setiap penutupan sekolah termasuk di 275 sekolah yang diarahkan berbuat demikian di Sarawak, hari ini.

“Setiap JPN mempunyai SOP masing-masing kerana mereka sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri (mengenai keadaan jerebu) yang berlaku.

“Apa yang penting, JPN memastikan kebajikan pelajar dan guru sekolah tidak diabaikan, apabila sampai tahap bacaan tertentu mereka akan mengarahkan sekolah ditutup,” katanya selepas Lawatan Kerja Menteri Pendidikan ke Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ditanya perkembangan penutupan 275 sekolah di lapan daerah di Sarawak, hari ini, Maszlee berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi di kawasan terbabit sehingga jam 6 petang semalam.

BH Online hari ini melaporkan 275 sekolah di lima daerah di Sarawak ditutup susulan IPU mencapai tahap sangat tidak sihat, petang semalam.


Pengawal keselamatan SKJ Chuang Hua No 4 di Kuching menunjukkan notis tutup sekolah melalui pesanan Whatsapp berikutan cuaca jerebu yang teruk di Kuching, kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 7 pagi pada peringkat tidak sihat iaitu 167 disebabkan pergerakan angin dari Kalimantan membawa jerebu teruk dari wilayah itu ke Sarawak. - Foto Hazreen Mohamad

Daripada jumlah itu, 219 adalah sekolah rendah, manakala 56 lagi sekolah menengah.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus dipetik berkata, daerah terbabit adalah Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau dan Lundu.

Bagaimanapun, katanya, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berkenaan berjalan seperti biasa.

Berita Harian X