Selasa, 10 September 2019 | 12:19pm
Guru Besar, Abang Sapali Abang Sepawi memberi taklimat mengenai penggunaan penutup hidung dan mulut kepada murid sekolah yang menduduki UPSR sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Murid sekolah yang menduduki UPSR mengaminkan doa supaya jerebu yang melanda kembali pulih sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Murid tiba ke sekolah di dalam cuaca berjerebu dengan bacaan IPU 131 (tidak sihat) di SK Sentul 1, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Murid sekolah yang menduduki UPSR memasuki dewan peperiksaan di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Agih topeng muka kepada murid sekolah

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan 500,000 topeng muka kepada murid sekolah di Sarawak yang terkesan akibat jerebu dalam masa terdekat.

NADMA dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Kementerian Pendidikan akan menyelaras pengagihan topeng muka kepada sekolah yang terbabit.

Bagaimanapun, katanya, keputusan penutupan sekolah masih di bawah kuasa Kementerian Pendidikan selepas bacaan indeks pencemaran udara (IPU) semasa melebihi 200.

Selain itu, katanya, NADMA sudah mengeluarkan notis kesiapsiagaan menerusi Pusat Kawalan Bencana Negara bagi meminta semua JPBN mengambil langkah berjaga-jaga.

“NADMA membuat pemantauan rapi mengenai keadaan Jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang dipercayai berpunca daripada kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia iaitu jerebu merentasi sempadan.

“NADMA dan Tentera Udara Diraja Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bagi memantau kesesuaian untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan secepat mungkin jika keadaan atmosfera sesuai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut laporan MET 8 pagi ini, kadar bacaan IPU di Sarawak khususnya Sri Aman (201) ialah berada ditahap ‘Sangat Tidak Sihat’, manakala kawasan lain di Sarawak termasuk Kuching 160 dan Samarahan 127 berada di tahap Tidak Sihat.

Selain itu, bacaan IPU di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia juga berada pada tahap Tidak Sihat termasuk di Petaling Jaya (131), Shah Alam (123), Klang (118), Banting (123) dan Johan Setia Klang (159) di Selangor, manakala Cheras (135) di Kuala Lumpur dan Putrajaya (130); Seremban (112) dan Nilai (134) di Negeri Sembilan; Tangkak, Johor (109) dan Rompin, Pahang (197).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, sudah menghantar nota diplomatik kepada rakan sejawatnya di Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia atas situasi jerebu yang melanda dan menggesa Indonesia mempertingkatkan usaha pemadaman.

Berikutan itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar juga sudah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Luar Negeri Indonesia semalam bagi membincangkan implikasi negatif yang menimpa rakyat Malaysia akibat dari jerebu merentas sempadan yang semakin teruk.

“Malaysia berharap pihak Indonesia akan terus memberi penekanan terhadap usaha pemadaman dan pemantauan yang berterusan serta usaha pencegahan konkrit supaya pembakaran dan jerebu rentas sempadan tidak berulang, terutamanya pada musim kemarau yang akan menjelang dalam beberapa bulan yang akan datang.

“Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan menghulurkan sokongan dan bantuan teknikal sekiranya diperlukan, untuk sama-sama menangani isu jerebu rentas sempadan seperti yang pernah di lakukan pada 1998 di Kalimantan dan 2005 di Riau.

“Malaysia mengambil maklum Kerajaan Indonesia mengambil perhatian serius terhadap isu jerebu rentas sempadan ini,” katanya.

Berita Harian X