Sabtu, 7 September 2019 | 7:47pm

KPDNHEP guna sistem khas online pantau AP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggunakan sebuah sistem khas dalam talian untuk memantau dan mengekang kegiatan menjual permit import (AP) bahan makanan di bawah penyeliaannya.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberitahu BH, sistem berkenaan berupaya memantau pergerakan pelbagai barang import yang terletak di bawah pengawasan kementerian seperti gula, tepung dan minyak masak, yang dibawa masuk oleh pemegang AP.

Beliau berkata, menerusi sistem yang diwujudkan baru-baru ini, pemegang AP wajib memasukkan data pergerakan barangan sama ada ia sudah sampai ke pelabuhan seterusnya dijual kepada pihak lain seperti kilang atau pengusaha industri.

Mengikut undang-undang, peruncit dilarang membeli terus daripada pemegang AP.

“Kalau penerima akhir tidak jelas atau butirnya tidak diisi oleh pemegang AP, kita akan menghentikannya (tahan barang).

“Sekarang ada dua pemegang AP yang kita hentikan (pergerakan barang) kerana sedang siasat destinasi akhir barangan dibawa masuk itu (sama ada ia dijual terus kepada peruncit).

“Sekarang barangan itu ada di pelabuhan dan jumlahnya tidak besar sangat, tetapi saya hendak menggambarkan bagaimana mekanisme kita dalam memantau kegiatan pemegang AP supaya mereka tidak menyalahgunakannya,” katanya.

Saifuddin berkata, tindakan menjual AP adalah serius kerana ia boleh menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga mahal berikutan kewujudan lapisan baharu dalam rantaian bekalan sedangkan pemegang AP mengaut keuntungan besar.

Mengulas cadangan supaya sistem AP dimansuhkan, beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji kesan buruk dan baiknya tindakan itu apabila terlalu banyak pihak boleh mengimport sesetengah barang.

“Contoh, kelemahannya adalah dari aspek melindungi petani tempatan, seperti cili, kita mengimport kerana bekalan dari Cameron Highlands tidak mencukupi, tetapi (cili) yang dibawa masuk menjadi murah (kerana banyak). Orang akan kata apa guna hendak beli dari dalam (Malaysia, kerana yang diimport lebih murah).

“Contoh lain ialah kelapa tua untuk musim perayaan yang jumlah diperlukan sekitar 27 juta biji, bekalan kita tidak cukup jadi bawa dari Indonesia yang harganya 80 sen sebiji dan harga kelapa di Bagan Datuk adalah RM1.20.


Keratan akhbar BH 17 Ogos lalu.

“Bayangkan ketika ada AP pun harganya (tempatan) RM1.20, kalau kita buka seluas-luasnya harganya mungkin boleh turun sehingga 60 sen, apa hendak jadi dengan pekebun kelapa di Bagan Datuk dengan harga seperti itu,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan Kajian Pasaran Sektor Makanan dikendalikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bulan lalu mendapati harga sayur kubis bulat meningkat dipercayai akibat penyalahgunaan AP itu.

Semakan BH terhadap sebuah web yang mengiklankan perkhidmatan dan barangan, mendapati banyak pihak mendakwa mempunyai AP tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat, mengiklankannya untuk dijual.

Siasatan BH yang menyamar menghubungi beberapa ‘pemegang AP’ mengiklankannya mendapati mereka mampu mengaut keuntungan antara RM2.4 juta hingga RM3 juta, sekiranya dapat menjual 20,000 tan tepung yang dibenarkan dalam AP dimiliki.

Bagaimanapun, kegiatan itu di laman web terbabit sudah dihentikan susulan laporan akhbar ini.

Berita Harian X