Jumaat, 6 September 2019 | 8:00pm

Ciri keselamatan SSLN dipertingkat

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan memperkenalkan mekanisme baharu serta mempertingkatkan ciri kawalan dan keselamatan pengeluaran Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN).

Ia susulan pendedahan eksklusif BH mengenai SSLN atau Non Objection Certificate (NOC) yang diperlukan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara, ada yang dipalsukan dan dijual pada harga sehingga RM8,500.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata mekanisme pengeluaran SSLN akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan pemohon benar-benar memenuhi kelayakan akademik disyaratkan.

Katanya, JPT memandang serius dakwaan pengeluaran dan penjualan SSLN palsu kerana dokumen berkenaan sepatutnya hanya diberikan kepada mereka yang menepati syarat kelayakan minimum.

“JPT melalui Education Malaysia bertanggungjawab mengeluarkan SSLN secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum tanpa membabitkan pihak luar seperti ejen dan sebagainya.

“Kelayakan minimum SSLN pula berdasarkan syarat minimum yang ditetapkan badan profesional di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

BH sebelum ini mendedahkan dokumen palsu itu dipercayai dikeluarkan pihak tertentu dengan sasaran utama adalah lepasan jurusan perubatan universiti luar negara yang tidak memenuhi syarat minimum dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Tanpa sijil terbabit bersama keputusan SPM dengan syarat gred ditetapkan, lepasan kursus perubatan dari universiti asing tidak boleh mengikuti latihan amali atau housemanship untuk melayakkan mereka bergelar doktor di negara ini.

Untuk mendapatkan SSLN bagi kursus perubatan, lulusan SPM mesti memperoleh sekurang-kurangnya B dalam lima subjek teras Sains, iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia.

Sebahagian pelajar atau lulusan jurusan perubatan berkenaan selalunya pulang ke Malaysia untuk mengambil semula SPM bagi memperbaiki gred subjek yang diperlukan, namun mereka yang ada kemampuan kewangan dikatakan membeli SSLN palsu.

Siti Hamisah berkata, JPT melakukan penambahbaikan dengan memperhalusi proses permohonan dan pengeluaran SSLN pada awal tahun ini, melalui beberapa siri perbincangan bersama badan profesional berkaitan.

Namun, beliau berkata, isu lepasan SPM mengikuti kursus perubatan di luar negara atas biaya sendiri tanpa memperoleh SSLN, adalah di luar kawalan JPT kerana pengambilan pelajar bergantung pada syarat kelayakan ditetapkan universiti terbabit.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2003, sebanyak 36,044 SSLN sudah dikeluarkan sehingga tahun lalu. Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, 566 permohonan SSLN diterima dan diproses.

SSLN diperkenal untuk memastikan kualiti pelajar yang ingin melanjutkan pelajar ke luar negara, benar-benar layak dari segi akademik.

Kelmarin, BH juga mendedahkan sesetengah pelajar perubatan dari Malaysia di Russia juga didakwa sanggup membayar di antara RM7,000 dan RM8,000 untuk lulus satu subjek peperiksaan.

Bayaran didakwa dibuat kepada pensyarah untuk menjamin pelajar, kebanyakannya mempunyai kewangan kukuh, tidak gagal sehingga perlu mengulang semula pengajian, selain memastikan dapat menamatkan kursus dalam tempoh ditetapkan.

Perkara itu juga dalam pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow dengan majoriti pelajar dipercayai berbuat demikian adalah yang mengikuti pengajian di Russia dengan biaya sendiri, terutama graduan jurusan perubatan.

BH juga mendapat maklumat, penerima anugerah akademik tertentu seperti anugerah dekan dan anugerah penyelidikan didakwa dipilih oleh komuniti pelajar terbabit sendiri menerusi undian, selalunya berdasarkan populariti dan kemudian diluluskan dekan fakulti.

Undian dikatakan dibuat sebelum konvokesyen yang dianjurkan sendiri kumpulan pelajar itu selepas mereka pulang ke Malaysia kerana majlis graduasi bukan satu tradisi di pusat pengajian di Russia.

Kolej swasta tawar program asasi 3 bulan

Sebuah kolej swasta di ibu negara dikesan menawarkan program asasi atau praperubatan hanya di antara tiga hingga enam bulan untuk pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pengajian di luar negara, khususnya Russia.

Difahamkan, kelas untuk program terbabit dibuka sekitar Mac hingga Julai sahaja dan pelajar dihantar ke luar negara untuk mengikuti kursus perubatan sekitar September.

Program praperubatan atau asasi sains yang tulen dan diiktiraf kerajaan, biasanya mengambil masa setahun sebelum pelajar dihantar ke luar negara.

Tenaga pengajar mengendalikan program berkenaan juga dipercayai bukan dilantik secara sepenuh masa, malah kelayakan mereka juga diragui.

Kolej terbabit dikatakan antara yang terkenal dalam penghantaran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Russia, selain negara lain seperti Indonesia dan Mesir.

Carian BH di laman web Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pula mendapati kursus asasi sains yang dikendalikan kolej itu, mempunyai akreditasi agensi berkenaan yang diperoleh pada 2013.

BH yang membuat tinjauan di dua lokasi menempatkan kolej itu di sekitar Cheras serta Kepong, mendapati kedua-duanya ditutup dan tiada kakitangan atau pelajar yang kelihatan.

Di lokasi pertama, pengawal keselamatan sebuah hotel berhampiran ketika ditemui, mengesahkan kolej itu sudah berpindah ke Kepong sejak tahun lalu kerana masalah tempat letak kereta yang terhad.

Tinjauan di Kepong kemudian mendapati kolej sama dikunci dari luar, tetapi seorang pekerja sebuah syarikat bersebelahan, memaklumkan maklumat diterimanya adalah pusat pengajian itu akan dibuka semula.

“Saya dapat tahu pelajar-pelajar akan mendaftar pada bulan ini, tetapi setakat ini belum ada pelajar kelihatan kecuali beberapa pekerja yang sekali-sekala datang ke premis itu,” kata lelaki berkenaan.

BH kemudian ke sebuah kolej lain tidak jauh dari situ yang dikatakan bergabung dengan pusat pengajian menawarkan kursus asas atau praperubatan itu.

Seorang kakitangan kolej berkenaan ketika ditanya mengenai dakwaan terbabit, menafikan ada penggabungan sedemikian.

“Kedua-dua kolej adalah institusi berbeza, tetapi sering disalah anggap oleh orang ramai meskipun kami sudah lama beroperasi di kawasan ini,” katanya.

Praperubatan atau asasi Sains yang tulen dan diiktiraf kerajaan memakan masa setahun sebelum ke luar negara.

Pelajar kolej ini turut dihantar ke negara lain seperti Indonesia dan Mesir tetapi kebanyakannya ke Russia.

Tampil buat aduan dengan bukti sahih

Orang ramai yang tahu mengenai penipuan dalam kalangan pelajar perubatan Malaysia di luar negara yang menggunakan jalan pintas untuk bergelar doktor, perlu tampil membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata bukti sahih perlu untuk menyokong maklumat yang disalurkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menangani perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Seharusnya sesiapa yang ada maklumat, buat aduan rasmi kepada Kementerian Pendidikan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana hanya dua pihak berkenaan boleh ambil tindakan sewajarnya dalam hal ini,” katanya kepada BH, semalam.

Dr Ganabaskaran berkata, perbuatan menipu untuk bergelar doktor boleh menjejaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

“Jadi, kami juga berharap kerajaan terutama kementerian berkaitan dapat bertindak tegas dalam menangani perkara ini,” katanya.

Berita Harian X