Jumaat, 6 September 2019 | 5:47pm
Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun bersama anaknya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta. - NSTP/Muhammad Appendy Issahak

Teruskan hasrat arwah Mejar Mohd Zahir

IPOH: Balu kepada Pegawai Komando 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, akan meneruskan kehidupan seperti dirancang bersama arwah suaminya itu di Ipoh, termasuk menjalankan perniagaan yang diusahakan bersama sebelum ini.

Nour Shafinar yang sebelum ini berkhidmat di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Kem Genting Klang, Kuala Lumpur berkata, mereka sudah merancang menetap di Ipoh dan persediaan awal untuk tujuan itu juga sudah dilakukan.

Katanya, keputusan untuk membina kehidupan di kampung halamannya dibuat oleh arwah suami beberapa hari sebelum berlepas ke Sabah.

“Umi (panggilan arwah terhadapnya) muktamad kita duduk Perak, kita balik Perak...dia (arwah) sendiri cakap macam tu.

“Saya beritahu kalau macam tu nanti saya balik Ipoh cari rumah dekat kawasan Batu Gajah, sebab kalau kemungkinan dapat ke Perak dia akan bertukar ke kem di Batu Gajah.

“Tetapi, dia kata jangan cari rumah di Batu Gajah biar duduk rumah dekat dengan mak saya, kalau ada apa-apa jadi senang sebab dekat dengan mak..dia cakap macam tu,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta di sini, hari ini.

“Arwah juga mencadangkan agar saya berpindah ke Ipoh dahulu dan kemudian dia akan menyusul, kerana senang untuk dia minta bertukar ke Perak kelak.

“Perbincangan ini beberapa hari sebelum arwah ke Sabah. Memang kami sudah ada perancangan sama ada kami ingin menetap di Melaka, Kuala Lumpur atau Perak dan ikut perancangan saya ingin berpindah ke Ipoh pada November ini.

“Namun kini hanya saya dan anak-anak akan berpindah ke sini dan saya akan usahakan perpindahan sekolah anak-anak saya pada awal tahun depan,” katanya yang sudah berhenti kerja sejak Jun lalu untuk memberi tumpuan sebagai suri rumah dan perniagaan.

Katanya, dia akan meneruskan perancangan dibuat arwah suaminya itu termasuk meneruskan perniagaan jualan dan rekaan t-shirt yang dibuat Mohd Zahir yang juga antara cita-cita arwah untuk memajukannya.

Arwah adalah seorang pereka baju keluaran Zeck Empire iaitu rekaan t-shirt terutama untuk pasukan tentera yang menjalankan latihan, program atau misi khas.

T-shirt rekaannya pernah digunakan pasukan MALBATT, Latihan Kerjasama Lintas Udara Malaysia-Indonesia (Eksesais LINUD MALINDO) dan 11 Rejimen GGK.

“Saya akan teruskan cita-cita dia ini kerana dia memang minat perniagaan ini terutama rekaan pakaian ketenteraan..dia sendiri buat dan dia sendiri pakai,” kata Nour Shafinar.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang juga anak kepada seniman terkenal, AR Badul maut akibat terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah pada Rabu lalu.

Dia terkena tembakan jarak dekat ketika melakukan aksi demonstrasi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia pada 8.40 pagi.

Mejar Mohd Zahir disahkan meninggal dunia pada 9.20 pagi ketika rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Allahyarham mempunyai lima anak iaitu Izzul Zakly berusia enam bulan; Muhammad Abel Zulkarnain, 9; Muhammad Remy Iskandar, 8; Muhammad Irfan Daniel, 10 dan Nur Adriana, 6.

Berita Harian X