Khamis, 5 September 2019 | 4:31pm
Bekas Pegawai Khas, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi (tengah) hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Amhari nafi terima wang habuan daripada Jho Low

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Khas, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menafikan menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low atas ‘kerja’ yang dilakukannya sejak beberapa tahun dulu.

Penafian itu dibuat Amhari Efendi, 43, ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Amhari Efendi menegaskan wang berjumlah AS$884,996.78 yang dimasukkan kes dalam akaun BSI Switzerland di Singapura atas namanya, bukan hadiah daripada Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa akaun itu yang dibuka bagi tujuan dana politik, hanya rekaan dan imaginasinya saja.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa wang AS$884,996.78 dalam akaun yang dibuka di Singapura ini hanya imaginasi ciptaan kamu saja? Ia hanya sekadar dakwaan kamu saja.

Amhari: Tidak setuju

Muhammad Shafee: Setuju atau tidak yang kamu terima ini adalah daripada Jho Low sebagai hadiah atas pertolongan kamu kepadanya sejak bertahun-tahun?

Amhari: Tidak setuju

Pada perbicaraan itu, Amhari turut menafikan beliau menerima wang sebanyak AS$200,000 daripada Jho Low.

Sebaliknya Amhari, berkata wang itu adalah pinjaman yang ditawarkan oleh Jho Low kepada beliau bagi pembelian sebuah rumah di Kota Damansara.

Katanya, beliau cuba untuk mendapatkan pinjaman daripada pelbagai pihak, namun, hanya Jho Low yang sudi memberikan pinjaman.

Muhammad Shafee: Anda ada cuba mendapatkan pinjaman AS$200,000 daripada Bank Negara Malaysia (BNM)

Amhari: Ya

Muhammad Shafee: Tetapi tidak dapat?

Amhari: Ya

Muhammad Shafee: Anda kemudian cuba minta dengan institusi lain?

Amhari: Ya

Muhammad Shafee: Bagaimanapun Jho Low tahu?

Amhari: Saya bertanya kepada semua orang termasuk Jho Low.

Muhammad Shafee: Anda kemudian meminta Jho Low meminjamkan AS$200,000?

Amhari: Ya, pinjaman itu bagi menampung pinjaman sebelum menjual rumah saya bernombor 11 di Kota Damansara untuk membeli sebuah lagi rumah bernombor 29 di tempat sama.

Muhammad Shafee: Berapa harga pembelian rumah itu?

Amhari: RM1.85 juta.

“Jho Low bersetuju meminjamkan wang itu (AS$200,000) dan ia dipindahkan ke akaun Maybank saya daripada Syarikat Alsen Chance Holdings Limited,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau membayar kembali wang yang dipinjamkan itu, Amhari menjawab: “Saya ada cuba membayar pinjaman dengan menjual rumah nombor 11.”

Bagaimanapun Amhari berkata beliau tidak membayar semula wang itu kepada Jho Low kerana tidak dapat menjual rumah berkenaan.

“Jho Low juga menolak tawaran saya untuk memindahkan hak milik rumah itu kepadanya.

“Jho Low memberitahu saya, “tak perlu terburu-buru, ambillah masa, tak perlu terburu-buru.”

Amhari, turut memberitahu mahkamah, beliau juga tidak membuat atau menandatangani sebarang perjanjian pinjaman dengan Jho Low.

Berita Harian X