Khamis, 5 September 2019 | 2:45pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Azhar Ramli

Saran satu peratus bajet operasi untuk program integriti

PUTRAJAYA: Operator perkhidmatan air dan pembetungan di negara ini disaran memperuntukkan satu peratus daripada bajet operasi tahunan untuk menjalankan program integriti membabitkan agensi mereka, mulai tahun depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata program integriti itu meliputi audit, penilaian risiko, pemantauan, latihan dan komunikasi.

“Perkara itu terkandung dalam Rangka Kerja Integriti dan Antirasuah Bagi Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air yang dilancarkan hari ini.

“Pematuhan terhadap rangka kerja ini juga mungkin akan diambil kira sebagai syarat khas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika permohonan atau pembaharuan lesen operator perkhidmatan air dan pembetungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Rangka Kerja Integriti dan Antirasuah Bagi Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air, di sini, hari ini.

Xavier berkata, rangka kerja integriti itu menggariskan lima prinsip asas, iaitu komitmen pengurusan atasan, analisis risiko, pelaksanaan langkah kawalan, pemantauan secara sistematik dan komunikasi.

Beliau berkata, usaha itu bagi membantu pemegang lesen memantapkan kawalan ke arah membendung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Ia akan dijadikan panduan asas kepada semua pihak dalam industri perkhidmatan air untuk melaksanakan tanggungjawab dengan bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPAN, Charles Santiago, memaklumkan bahawa badan Transparency International (TI) menyimpulkan krisis air di dunia sebenarnya membabitkan aspek tadbir urus yang mana rasuah adalah punca utama.

Beliau berkata, kebanyakan negara maju seperti di Eropah, Amerika Utara dan Jepun juga tidak terlepas berdepan risiko rasuah dalam perkhidmatan air.

“Berdasarkan Laporan Rasuah Global 2008 diterbitkan TI, di negara membangun, rasuah dianggar akan meningkatkan kos pembekalan air kepada pengguna domestik sebanyak 30 peratus.

“Ini bermaksud jika kita boleh membanteras rasuah, kos sebanyak 30 peratus itu boleh diguna untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat.

“Selain itu, menurut anggaran Bank Dunia pula, sumber kewangan sektor air kehilangan 20 hingga 40 peratus disebabkan amalan tidak jujur dan rasuah,” katanya.

Berita Harian X