Rabu, 4 September 2019 | 8:05pm

Susulan jalan pintas bergelar doktor: Sijil palsu RM8,500

KUALA LUMPUR: Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau Non Objection Certificate (NOC) diperlukan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara, ada yang dipalsukan dan dijual pada harga sehingga RM8,500.

Dokumen palsu itu dipercayai dikeluarkan pihak tertentu dengan sasaran utama adalah lepasan jurusan perubatan universiti luar negara yang tidak memenuhi syarat minimum dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Tanpa sijil terbabit bersama keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan syarat gred ditetapkan, lepasan kursus perubatan dari universiti asing tidak boleh mengikuti latihan amali atau housemanship untuk melayakkan mereka bergelar doktor di negara ini.

Untuk mendapatkan SSLN bagi kursus perubatan, lulusan SPM mesti memperoleh sekurang-kurangnya B dalam lima subjek teras Sains, iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia.

Sebahagian pelajar atau lulusan jurusan perubatan berkenaan selalunya pulang ke Malaysia untuk mengambil semula SPM bagi memperbaiki gred subjek yang diperlukan, namun mereka yang ada kemampuan kewangan dikatakan membeli SSLN palsu.

Pengeluaran SSLN palsu dikesan melalui penyamaran wartawan BH yang kononnya sedang melanjutkan pengajian perubatan di sebuah universiti di Russia, tetapi tiada sijil terbabit.

Melalui bantuan pelajar Malaysia di negara berkenaan, wartawan BH berinteraksi melalui aplikasi WhatsApp dengan individu yang bertindak sebagai ejen menguruskan kemasukan pelajar Malaysia ke universiti di Russia.

Wanita berkenaan memaklumkan dia boleh membantu mendapatkan SSLN dengan bayaran RM8,500, namun boleh dikurangkan jika pemohon tidak berkemampuan.

Lebih mengejutkan, dia juga memberitahu boleh memberi diskaun, malah mungkin SSLN secara percuma sekiranya pemohon memperkenalkan lebih ramai individu lain yang mahukan dokumen berkenaan.

“Kami akan beri diskaun sebanyak RM500 untuk seorang pelajar yang mahukan sijil ini. Kamu juga mungkin akan dapat sijil ini secara percuma jika lebih ramai pelajar diperkenalkan. Semua itu ditolak daripada komisen saya.

“Jika bersetuju, bayar penuh dahulu sebelum menunggu empat hingga enam bulan untuk dapatkan sijil itu,” katanya sambil mendakwa, pihaknya menguruskan kemasukan kira-kira 100 pelajar Malaysia ke universiti di Russia setiap tahun.

Pelajar atau lulusan perubatan dari universiti luar negara tanpa SSLN menjadi sasaran kerana mereka berbelanja melebihi RM300,000 untuk mengikuti kursus itu bagi tempoh pengajian enam tahun, sekali gus terdesak mendapatkan sijil terbabit untuk bergelar doktor.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai integriti dan kemampuan sesetengah pengamal perubatan tempatan lulusan universiti luar negara kerana sanggup menipu dan menggunakan dokumen palsu untuk menjadi doktor bertauliah.

Sejak Isnin lalu, BH mendedahkan sesetengah lulusan SPM dikatakan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mengikuti kursus perubatan di universiti luar negara walaupun tidak memenuhi kelulusan minimum ditetapkan kerajaan.

Sebagai ‘jalan pintas’, pelajar daripada keluarga berkemampuan mengeluarkan wang sendiri untuk tujuan itu walaupun majoriti mereka dipercayai tidak memenuhi syarat SSLN.

Tambahan pula, sejak beberapa tahun lalu, perunding pendidikan atau ejen dikatakan menjanjikan tawaran menarik, termasuk penerimaan kemasukan oleh universiti asing walaupun kelulusan SPM tidak memuaskan.

Tawaran serupa dijanjikan kepada pelajar kolej swasta yang mengikuti kursus praperubatan atau prasains. Peranan ejen berkenaan semakin mendapat tempat apabila kerajaan mengurangkan pelajar tajaan biasiswa ke luar negara sejak beberapa tahun lalu.

Lepasan SPM yang tidak memenuhi kelayakan, dikatakan terus dihantar ke Kursk State Medical University di Russia dengan bayaran sekitar RM45,000 tanpa perlu mengikuti kursus asas di Malaysia.


Contoh sijil SSLN palsu yang dijual kepada pelajar Malaysia.

Dokumen palsu, tulen tak banyak beza

Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau Non Objection Certificate (NOC) yang dijual kepada pelajar Malaysia atau lulusan universiti luar negara, dikesan hanya mempunyai sedikit kelainan dengan dokumen Kementerian Pendidikan.

BH memperoleh SSLN dua pelajar perubatan dari Malaysia di universiti Russia yang dikeluarkan ejen menguruskan kemasukan mereka, selain sijil dikatakan milik lulusan bidang sama yang kini berkhidmat sebagai doktor.

Ketiga-tiga dokumen itu yang diperoleh daripada ejen berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, kemudian dibandingkan dengan SSLN tulen milik seorang pelajar tajaan MARA dan hasilnya, hanya beberapa kelainan dikesan.

Sebagai contoh, SSLN sah tiada kesan timbul pada cop merah, tetapi sijil dikeluarkan ejen mempunyai kesan berkenaan. Selain itu, maklumat pada sijil tulen dan sijil dikeluarkan ejen hanya dicetak pada kertas sijil biasa yang boleh dibeli di mana-mana.

Seorang wanita yang mendakwa ejen menguruskan kemasukan pelajar Malaysia ke universiti di Russia, memberi jaminan sijil dikeluarkan pihaknya tidak diragui, terutama Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Dia mendakwa, ramai lulusan perubatan Malaysia terutama yang mengikuti pengajian di Russia, menggunakan khidmatnya mendapatkan SSLN dan kebanyakan mereka kini berkhidmat sebagai doktor di Malaysia.

BH membuat carian nama seorang lulusan kursus perubatan dari universiti di Russia di laman web pendaftaran doktor dikendalikan MPM yang menggunakan khidmat ejen terbabit untuk mendapatkan SSLN.

Carian mendapati individu itu tersenarai sebagai pengamal perubatan, sekali gus menyokong dakwaan ejen itu bahawa SSLN dikeluarkan pihaknya sudah cukup untuk melayakkan lulusan kursus perubatan dari universiti luar negara bergelar doktor.

“Hanya buat bayaran serta serahkan salinan kad pengenalan, surat beranak, sijil kursus praperubatan dan keputusan universiti untuk pemprosesan dokumen (SSLN),” katanya.


Perbualan antara wartawan BH dengan ejen yang menguruskan kemasukan pelajar Malaysia di universiti di Russia.

Proses dapat SSLN perlu dikaji semula

Proses mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritificate (NOC) bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu melanjutkan pengajian perubatan di luar negara, perlu dilihat semula.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sebelum pelajar termasuk di bawah pembiayaan sendiri melanjutkan pengajian perubatan di luar negara, mereka perlu disaring dan ditemuduga bagi memastikan layak mengikuti kursus itu.

“Pelajar terbabit perlukan antara lain sebelum ke luar negara adalah mendapatkan SSLN. Jadi mereka perlu mengikut prosedur dan pada hemat saya, ia (proses mendapatkan SSLN) perlu dilihat semula, tapi itu di bawah kuasa Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mengenai dakwaan ada pelajar dan lulusan perubatan universiti luar negara menggunakan SSLN palsu untuk bergelar doktor, beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Namun, pihak yang menguruskan kemasukan siswazah perubatan menjadi doktor di negara ini mampu menyaring perkara itu (penipuan) berdasarkan kelayakan lulusan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Embracing Style In Breastfeeding sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019 di sini, semalam.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Katanya, bidang tugas kementeriannya hanya apabila pelajar menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air untuk proses seterusnya yang memerlukan mereka mendapat pengesahan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

“Apabila menamatkan pengajian perubatan, pelajar tetap perlu melalui saringan MPM bagi memastikan universiti dan ijazah yang dimiliki diiktiraf, sebelum boleh berkhidmat sebagai pegawai perubatan.

“Sekiranya universiti tidak diiktiraf, perlu menduduki peperiksaan Kelayakan Prapendaftaran bagi membolehkan mereka didaftar untuk mengikuti program latihan doktor pelatih (housemanship),” katanya.

Mengenai kursus perubatan di beberapa negara yang dikesan menyerupai modus operandi universiti tertentu di Ukraine suatu ketika dahulu, Dr Dzulkefly mengakui perkara itu dan mahu ia diatasi segera termasuk pembabitan ejen.

“Ejen dan pihak yang urus (kemasukan pelajar) tidak harus lihat dari sudut komersial sahaja kerana yang akan rugi adalah pelajar. Ejen jangan ambil peluang jadikan pembelajaran sebagai cara untuk kaut untung, perlu juga bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika ditanya isu sama pada sidang media pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 semalam, berkata prosedur melayakkan seseorang menjadi doktor ditentukan MPM, bukan kementeriannya.

“Untuk seseorang itu dinilai layak terbabit dalam profesion perubatan ditentukan oleh badan profesional perubatan. Justeru, isu graduan guna jalan pintas jadi doktor perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan kerana mereka yang menerima doktor bertugas,” katanya.

Berita Harian X