Rabu, 4 September 2019 | 8:00pm
Tinjauan BH mendapati restoran dan resort lengang tanpa kehadiran pengunjung di Pantai Cherating, Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pengusaha resort disaran bantu buat promosi

KUANTAN: Pengusaha pusat peranginan atau resort dan chalet di Cherating disaran membantu kerajaan negeri mempromosikan tempat pelancongan itu dan tidak terlalu bergantung kepada program dirancang.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, berkata setiap pengusaha penginapan di lokasi itu perlu menyediakan program atau aktiviti sendiri bagi mempromosikan tempat masing-masing dan Cherating.

“Chalet dan resort bajet memang ada turun naik dari segi permintaan mengikut musim, namun pengusaha perlu ada inisiatif mengadakan aktiviti bagi menarik pelancong.

“Penginapan di hotel dan resort ada bintang tidak ada masalah kerana mereka turut membuat promosi sendiri, malah setiap tahun permintaan untuk bilik hotel di sini menunjukkan peningkatan,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap tahun Tourism Pahang mengadakan promosi dengan menganjurkan pelbagai acara dan program bagi menarik pelancong seperti Cherating Tenggara Wind Challenge dan Safari Grom Search tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha penginapan perlu berperanan dengan membuat promosi dan program sendiri yang akan disokong kerajaan bagi merancakkan pelancongan Cherating.

“Jika ada program yang ingin dianjurkan, kita boleh membantu dari segi sokongan dan promosi kerana mereka ada usaha.

“Kita tidak mempunyai dana mencukupi tetapi jika inisiatif diambil memberi impak kepada Cherating, kita akan cuba bantu,” jelasnya.

Ishak tidak menolak ada beberapa isu seperti kebersihan dan laluan masuk ke pantai Cherating menyebabkan lokasi terbabit kurang mendapat sambutan pelancong.

Katanya, Cherating masih menjadi lokasi percutian popular dalam kalangan pelancong asing dan kerajaan merangka menjadikan tempat terbabit sebagai lokasi percutian berkelas.

“Tanah di Cherating adalah milik persendirian, jadi kerajaan tidak boleh membuat pembangunan sesuka hati, melainkan mendapat persetujuan pemilik.

“Jalan masuk ke pantai dari jalan utama (Jalan Kuantan-Kemaman) perlu melalui tanah pemilik kerana lokasi pantai agak jauh ke dalam. Itu antara sebab yang menyukarkan pelancong terutama yang berkereta.

“Tanggungjawab kebersihan pantai juga tidak boleh diletakkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja, sebaliknya mesti dikongsi pengusaha penginapan kerana ini turut memberi kesan kepada premis mereka,” katanya.

Beliau berkata, media sosial dan rangkaian portal ulasan penginapan dikendalikan pihak tertentu juga antara sebab Cherating kurang mendapat sambutan.

Katanya, segelintir pengusaha penginapan yang tidak menitik beratkan keperluan tetamu dan menjaga kebersihan premis akan memberi kesan kepada ulasan tetamu.

“Jika ulasan yang diberi negatif, maka, pandangan kepada pelancong lain yang ingin berkunjung ke sini juga terkesan.

“Sebagai contoh, jika laman web Lonely Planet masih meletakkan kadar bilik pada harga 10 tahun dulu dan pelancong datang mendapati harga ditawarkan berbeza, ia turut memberi kesan,” katanya.

Berita Harian X