Isnin, 2 September 2019 | 2:58pm
PELAJAR Orang Kelainan Upaya Muhamad Aliff Rozahimie Md Rasid antara 69 pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan UMP berjumlah RM1,000 seorang bagi meringankan beban mereka pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Sempena Kemasukan Pelajar Baru Sesi Akademik 2019/2020 di Dewan Astaka UMP Gambang, hari ini. - Foto BERNAMA

Pelajar OKU ingin ubah nasib keluarga

KUANTAN: Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) bertekad untuk mengubah nasib keluarga dengan mencapai impian menjadi jurutera rangkaian.

Muhamad Aliff Rozahimie Md Rasid, 23, yang mengalami masalah sakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak kecil, antara 2,291 mahasiswa baharu yang mendaftar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun ada kekurangan, dirinya mahu mengubah nasib keluarga dengan mencabar diri menjadi individu berjaya.

“Saya mahu membalas jasa ibu (Zadina Mohd Khalid, 50) yang membesarkan saya seorang diri sejak kecil selepas berpisah dengan ayah.

“Ini menyebabkan saya berusaha keras untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi orang yang berjaya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan MyGift daripada UMP sebagai insentif bantuan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin di sini.

Turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Muhamad Aliff Rozahimie yang berasal dari Kemaman, Terengganu, berkata beliau bersyukur kerana dapat menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer selepas tamat pengajian di peringkat diploma di UMP.

“Sebelum ini saya ambil diploma di UMP, jadi rasanya tidak ada masalah untuk saya belajar di sini. Lagipun, mudah untuk saya balik ke Kemaman menjenguk ibu sebab dekat,” katanya.

Sementara itu, Wan Azhar berkata, UMP menawarkan 32 program termasuk tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data, Sarjana Muda Teknologi Automotif dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas.

Beliau berkata, seramai 2,291 mahasiswa baharu ditawarkan tempat bagi mengikuti program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sesi 2019/2020 yang berlangsung serentak di kedua-dua kampus UMP iaitu Gambang dan Pekan hari ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 427 orang ditawarkan tempat dalam bidang teknologi kejuruteraan, kejuruteraan (989), perkomputeran dan sains gunaan (602) dan program pengurusan dan kemanusiaan (273).

“UMP juga menerima kemasukan 44 pelajar antarabangsa daripada Yaman, Syria, Bangladesh, Palestin, Somalia, Pakistan, Jerman, China dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, UMP memperuntukkan sebanyak RM69,000 sumbangan MyGift sebagai insentif bantuan pendidikan memba itkan 69 mahasiswa baharu yang mendaftar masuk ke UMP kali ini.

Berita Harian X