Ahad, 1 September 2019 | 8:51pm
Penyerang kebangsaan, Mohamadou Sumareh (kanan) ketika menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan, hari ini. - Foto BERNAMA

Sumareh legakan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mendapat perkhabaran positif menjelang aksi pembukaan Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, Khamis ini selepas Mohamadou Sumareh semakin pulih daripada kecederaan.

Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara sebelum ini dilaporkan bergelut dengan masalah kecederaan pangkal paha, sekali gus menggusarkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang amat menagih khidmatnya untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno nanti.

Pemain sayap Pahang itu sebelum ini lebih banyak melakukan proses pemulihan dan perkembangan terbaharu yang menyaksikan dia mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya hari ini, sudah cukup untuk melegakan Cheng Hoe.

Cheng Hoe bagaimanapun menjelaskan barisan kejurulatihan tetap masih memantau perkembangan Sumareh bagi memastikan dia benar-benar bersedia untuk diturunkan berdepan Indonesia.

"Sudah pasti ia satu petanda positif buat pasukan kerana sepanjang bersama skuad kebangsaan, Sumareh beraksi dengan baik dan sentiasa memberi impak yang besar.

"Saya harap dia pulih 100 peratus sebelum lawan Indonesia kerana kita perlukan semua pemain berada dalam keadaan terbaik," katanya, hari ini.

Selepas berdepan Indonesia, skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kedua Kumpulan G berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September.

Sementara itu, Sumareh turut mengakui bahawa dia sudah bersedia jika menjadi pilihan Cheng Hoe untuk diturunkan berdepan Indonesia.

"Pasukan perubatan melakukan kerja dengan terbaik dan saya rasa keadaan saya rasa keadaan saya lebih baik sekarang.

"Saya terlepas dua perlawanan bersama Pahang dan tidak beraksi ketika Malaysia berdepan Jordan, tapi saya akan berusaha untuk kembali kepada prestasi terbaik.

"Menentang Indonesia bukan mudah terutama beraksi di hadapan penyokong mereka dan ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar. Tapi saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang lain untuk mendapatkan keputusan positif," katanya.

Berita Harian X