Ahad, 1 September 2019 | 3:20pm
Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah berkata, Islam adalah agama murni dan suci yang menuntut kedamaian, keharmonian serta keamanan. - Foto BERNAMA

Keganasan bertentangan dengan ajaran Islam - Syakh Abdallah

PUTRAJAYA: Umat Islam di seluruh dunia wajar menolak sebarang bentuk keganasan kerana ia langsung tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar.

Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dinamakan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1441 Hijrah, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah, berkata Islam adalah agama murni dan suci yang menuntut kedamaian, keharmonian serta keamanan.

Justeru, Shaykh Abdallah menyanjung tinggi usaha kerajaan Malaysia mempromosikan keamanan sejagat menerusi gagasan idea ‘Rahmatan Lil-Alamin’ secara maqasid syariah.

“Saya menyanjung tinggi usaha kerajaan Malaysia kedamaian dan keamanan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan seluruh dunia secara umumnya supaya kita dapat hidup aman dalam kepelbagaian agama serta bangsa secara harmoni.

“Umat Islam perlu mementingkan keamanan menerusi gagasan rahmah supaya kita tidak menimbulkan kekecohan dalam mendepani cabaran semasa Islam, termasuk media sosial dan fitnah akhir zaman.

“Kita tidak juga sepatutnya menyebarkan berita atau maklumat yang boleh mengancam ketenteraman serta keamanan umat Islam,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersama Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah (dua dari kiri) dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang (kanan) pada Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1441 Hijrah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Terdahulu, Shaykh Abdallah melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan anugerah berharga itu kepadanya.

“Anugerah ini adalah satu kemuliaan dan kebanggan bagi seluruh umat Islam. Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Dr Mahathir serta dan kerajaan Malaysia yang memberikan anugerah besar ini kepada saya.

“Ia adalah kejayaan kita bersama untuk membawa keamanan kepada seluruh umat Islam,” katanya yang menerima hadiah wang tunai RM100,000 daripada kerajaan dan RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi berserta pingat serta sijil penghargaan.

Shaykh Abdallah turut sempat berbincang dengan Perdana Menteri mengenai tindakan sesetengah pihak menggunakan alasan ajaran Islam untuk melakukan pembunuhan dan keganasan.

“Saya nyatakan pandangan kepada Perdana Menteri bahawa perkara itu tidak benar dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Berita Harian X