Ahad, 1 September 2019 | 12:11pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Datuk Seri Dr Zaini Ujang pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bertema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Zaini Ujang Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M.

Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah, pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman dilakukan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bertema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Mohammad Nordin berkata, kedua-dua tokoh itu dipilih berdasarkan pengetahuan, pengalaman luas dan keperibadian unggul yang dimiliki dalam mengembangkan syiar Islam.

Kedua-dua tokoh terbabit juga memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah, selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Kerajaan Malaysia dan RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi berserta pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X