Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:22am

PM rasmi Kompleks Pelawat, Taman Etnobotani

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini merasmikan Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani di Taman Botani Perdana di sini, kemudahan serta tarikan baharu dalam usaha menaik taraf taman berkenaan.

Yang turut mengiringi Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Dr Mahathir turut meluangkan masa melawat Taman Etnobotani yang berkeluasan satu hektar dan diberikan taklimat berhubung transformasi Taman Botani Perdana sejak dibangunkan pada 1888.


Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad merasmikan Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etno Botani, Taman Botani Perdana, di Tasik Perdana. - Foto Aswadi Alias

Beliau turut menanam pokok kembang semangkuk sebagai simbolik perasmian taman itu.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, proses naik taraf taman rekreasi itu membabitkan elemen penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan, yang dilaksanakan dalam tiga fasa sejak 2010.

Katanya, bagi tujuan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina bangunan Herbarium bagi kerja penyelidikan, Pusat Interpretif bagi memberikan maklumat pendidikan kepada pengunjung dan Taman Etnobotani bagi kerja pemuliharaan di taman berkenaan.


KUALA LUMPUR 30 OGOS 2019. Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad merasmikan Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etno Botani, Taman Botani Perdana, di Tasik Perdana. Turut kelihatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (kiri) serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan (kanan). NSTP/ASWADI ALIAS.

“Taman Etnobotani yang dibangunkan dalam fasa dua menghimpunkan koleksi tumbuhan yang mempunyai hubungan dengan manusia termasuk bagi perubatan, sumber makanan, ekonomi dan kebudayaan.

“Pada tahun ini, kita memasuki fasa tiga dengan menaik taraf Taman Orkid dan membangunkan Taman Bunga Raya, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2022,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, kos kerja naik taraf Taman Botani Perdana adalah kira-kira RM80 juta dan pihaknya juga bercadang untuk menaik taraf taman rekreasi lain di ibu negara pada tahun depan.

“Selepas taman ini dinaik taraf, kita dapat lihat jumlah pengunjung semakin meningkat terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am,” katanya.


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad melawat pameran diruang pameran selepas merasmikan Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etno Botani, Taman Botani Perdana, di Tasik Perdana. - Foto Aswadi Alias

Taman Botani Perdana yang berkeluasan 101.12 hektar dahulunya dikenali sebagai Taman Tasik Perdana, yang diilhamkan Residen British, AR Venning pada 1888 dengan nama Sydney Lake.

Taman itu kemudian dinaik taraf oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1975 dan ditukar namanya kepada Taman Tasik Perdana, sebelum ditukar nama kepada Taman Botani Perdana pada 2011.

KUALA LUMPUR 30 OGOS 2019. Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad (tengah) bergambar beramai bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah selepas Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etno Botani, Taman Botani Perdana, di Tasik Perdana. NSTP/ASWADI ALIAS.
Berita Harian X