Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:47pm
Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) pada sidang media Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

'Paria' bukan tuju kepada sesiapa - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan penggunaan perkataan ‘paria’ dalam kenyataannya kepada media selepas menyempurnakan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Saya tidak tujukan (perkataan itu) kepada sesiapa. Siapa yang satu tujukan? (ketika menyebut perkataan itu),” katanya pada sidang selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang tadi.

Perdana Menteri pada Isnin lalu, berkata kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak boleh dilayan seperti ‘paria’ dan digesa menghentikan operasi serta keluar dari Malaysia.

Dr Mahathir berkata tindakan sedemikian hanya memburukkan keadaan kerana ia bakal merencatkan usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Kelmarin, satu laporan polis dibuat ahli PKR terhadap Dr Mahathir atas penggunaan perkataan ‘paria’ dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur Isnin lalu, yang didakwa mereka sebagai mengguris perasaan kaum India.

V Maneyvannan bersama tiga individu mewakili PKR Kapar menuntut Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan pihak tertentu supaya tidak terlebih emosi, sebaliknya bersikap rasional serta memahami konteks sebenar penggunaan perkataan ‘paria’.

Beliau berkata, perkataan ‘paria’ membawa maksud berbeza dalam bahasa Inggeris dan ia tidak merujuk kepada kasta orang India.

Berita Harian X