Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:34pm

Kabinet kekal kecuali ada peletakan jawatan - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan barisan Jemaah Menteri sedia ada kekal kecuali ada menteri yang meletakkan jawatan.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat mingguan Kabinet juga tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio menteri, pelantikan menteri baharu atau tindakan menggantikan mana-mana menteri.

“Kita tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet memandangkan tiada yang mahu meletakkan jawatan... Buat masa ini tiada kekosongan, jika ada kita akan cari calon yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang tadi.

Dr Mahathir ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan kemungkinan usaha membawa masuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam Kabinet.

Minggu lalu, Perdana Menteri menegaskan tiada menteri baharu akan menganggotai Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU, berkata parti itu juga tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio menteri.

“Mesyuarat parti juga tidak membincangkan perkara itu, “ katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Kabinet ada membincangkan dakwaan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston, berhubung pemerhatian mengenai kadar kemiskinan dalam negara.

“Kita akan mengkaji dengan lebih mendalam perkara itu...dan ada kemungkinan kayu pengukuran garis kemiskinan ini akan disemak semula sesuai dengan kedudukan negara,” katanya.

Mengenai kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Isham Ishak, berhubung saringan untuk warga asing termasuk dari Hong Kong bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Perdana Menteri berkata:

“Perkara itu dibincangkan dan kita sedang menelitinya dengan lebih lanjut.”

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Kuala Lumpur, petang tadi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X