Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:10pm
Catatan Syed Saddiq menerusi Twitternya.

Dego Ride gajikan 1,500 penunggang motosikal, gaji cecah RM3,500

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan teksi motosikal kendalian syarikat tempatan, Dego Ride pernah menggajikan lebih 1,500 ‘mat motor’ sebelum ia diharamkan kerajaan terdahulu, pada awal 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata purata gaji bulanan yang dijana operator perkhidmatan menyamai GoJek di Indonesia itu ialah antara RM1,500 hingga RM3,500.

“Kira-kira 85 peratus ‘mat motor’ yang digaji ialah anak muda. Dalam tempoh tiga bulan saja, mereka menarik minat lebih 60,000 pengguna,” katanya menerusi catatan Twitter, @SyedSaddiq, hari ini.

Kenyataan Syed Saddiq yang memberi idea membawa masuk GoJek, iaitu perkhidmatan berasal dari Indonesia itu dimuat naik selepas beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj.

Dego Ride menjadi bualan orang ramai sebaik memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50, namun ia hanya terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer (km) di sekitar Lembah Klang.

Kewujudan perkhidmatan yang disifatkan sebagai ‘pengangkutan pengantara’ itu bagaimanapun diharamkan oleh kerajaan sebelum ini dengan alasan keselamatan.

Berita Harian X