Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:35pm
Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib, Jho Low usaha tutup jejak jenayah - Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Selepas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar pada awal Julai 2015, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho cuba menutup jejak jenayah mereka.

Tindakan itu dilakukan oleh Najib dan Jho Low yang juga disifatkan sebagai ‘bayangannya’ dengan mengemukakan dokumen palsu kononnya bagi menunjukkan bahawa wang diterima adalah derma daripada Putera Arab.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam pernyataan pembukaan kes 1MDB dihadapi Najib, berkata antara dokumen itu ialah surat dan empat cek masing-masing berjumlah AS$25 juta yang kononnya ditulis oleh seseorang yang dikatakan sebagai penderma Arab.

Sri Ram berkata, bagaimanapun cek berkenaan bukan diniatkan untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti bagi menunjukkan bahawa tertuduh mengambil langkah aktif untuk mengelakkan daripada hukuman.

“Tertuduh juga campur tangan dalam perjalanan siasatan skandal 1MDB ini, beliau mengambil langkah aktif untuk menutup kesalahan jenayahnya.

“Oleh itu pendakwaan akan bergantung kepada bukti ini bagi menunjukkan tertuduh mempunyai niat dalam kesalahan yang didakwa dilakukannya itu,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengulas pernyataan pembukaan itu di luar mahkamah, berkata apa yang penting adalah sama ada Najib tahu wang yang disalurkan ke akaunnya berasal daripada 1MDB.

Muhammad Shafee berkata, persoalan sama ada dokumen itu adalah tulen atau palsu perlu dibuktikan oleh pendakwaan.

“Saya tak peduli sama ada Low Taek Jho tahu. Adakah Najib tahu? Kalau beliau tahu, baru anda boleh hukumnya (Najib) selepas itu,” katanya.

Berita Harian X