Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:57pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. NSTP/Asyraf Hamzah

Boleh dapat gaji RM1,500-RM3,500 menerusi Dego Ride - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan teksi motosikal kendalian syarikat tempatan, Dego Ride, berjaya menggajikan lebih 1,500 ‘mat motor’ sebelum ia diharamkan pentadbiran kerajaan terdahulu, pada awal 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata purata gaji bulanan yang dijana operator perkhidmatan menyamai ‘ojek’ di Indonesia itu ialah antara RM1,500 hingga RM3,500.

“Kira-kira 85 peratus ‘mat motor’ yang digaji adalah anak muda. Dalam tempoh tiga bulan saja, mereka menarik minat lebih 60,000 pengguna,” katanya menerusi catatan di akaun Twitter rasminya, @SyedSaddiq di sini, hari ini.

Kenyataan Syed Saddiq yang juga pelopor idea untuk membawa masuk GoJek, perkhidmatan berasal dari Indonesia, dimuat naik selepas beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj.


Dego Ride menjadi bualan orang ramai sebaik memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50. - Arkib NSTP

Dego Ride menjadi bualan orang ramai sebaik memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50, namun ia hanya terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer (km) di sekitar Lembah Klang.

Kewujudan perkhidmatan yang disifatkan sebagai ‘pengangkutan pengantara’ itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan diharamkan atas alasan keselamatan.

Berita Harian X