Rabu, 28 Ogos 2019 | 3:55pm
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Dr Juli Edo . NSTP/Hafiz Sohaimi

JAKOA tunggu kelulusan bayar perkhidmatan pengangkutan pelajar Orang Asli

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah menyerahkan permohonan berhubung pembayaran bagi perkhidmatan pengusaha pengangkutan pelajar Orang Asli kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Juli Edo, berkata permohonan untuk pembayaran perkhidmatan yang sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan membabitkan tuntutan bagi April, Mei dan Jun lalu.

Beliau berkata, JAKOA mempunyai peruntukan mencukupi bagi tujuan pembayaran itu, namun ia memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kewangan selaras dengan peraturan semasa sebelum pembayaran dapat dilaksanakan.

“JAKOA ingin memaklumkan bahawa perkara berkaitan masalah pembayaran kepada pengusaha pengangkutan pelajar Orang Asli dalam perhatian dan tindakan pihak kami.

“Malahan, kita juga komited untuk menyelesaikan masalah ini bagi memastikan pelajar Orang Asli terus ke sekolah dan dapat meneruskan pembelajaran dengan sempurna, ” katanya dalam kenyataan, di sini.

Sebelum ini, laporan portal media dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendakwa kerajaan gagal membayar perkhidmatan kepada pengusaha bas yang membawa kanak-kanak Orang Asli ke sekolah sehingga lima bulan.

Ramli berkata, rentetan itu, terdapat pengusaha bas yang kebanyakannya juga daripada masyarakat Orang Asli menimbang untuk memberhentikan perkhidmatan serta merta kerana tidak dapat menampung kos menghantar anak-anak Orang Asli ke sekolah.

Berita Harian X