Rabu, 28 Ogos 2019 | 12:44pm
BEKAS Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram hadir bagi mendengar keputusan permohonan ketepikan pelantikanya oleh Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/ Zulfadhl Zulkifli.

Pendakwaan akan buktikan dana 1MDB disalurkan ke akaun Najib melalui laluan 'berbelit'

KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan mengemukakan bukti langsung dan bukti keadaan bahawa Datuk Seri Najib Razak mengambil beberapa langkah membawa kepada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan kepada akaunnya melalui laluan yang ‘berbelit’ untuk mengelakkan sumbernya dikesan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam pernyataan permulaan kes itu yang mula dibicarakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, hari ini,

Katanya, tertuduh berdepan empat tuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Berdasarkan pertuduhan berkenaan, pihak pendakwaan akan membuktikan melalui bukti langsung dan bukti keadaan bahawa tertuduh dalam kapasiti sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kemudian selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengambil beberapa langkah yang membawa kepada dana 1MDB disalurkan kepada akaun beliau melalui laluan yang ‘berbelit’ untuk mengelakkan sumbernya dikesan.

“Tertuduh dengan ini menggunakan kedudukannya untuk kepuasan diri. Dalam setiap fasa ini tertuduh bersama Jho Low (Low Taek Jho) bertindak sebagai satu,” katanya.

Sri Ram berkata, kes itu membabitkan empat fasa, iaitu pertama membabitkan senario kononnya dikenali sebagai usaha sama yang diwujudkan tertuduh (bertindak melalui Jho Low dan individu dikenali sebagai Tariq Obaid iaitu kenalan rapat Jho Low), iaitu satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria.

Beliau berkata, dalam fasa pertama itu keadaannya adalah seperti berikut;

- 1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited. Wang berkenaan untuk dimasukkan ke akaun syarikat usaha sama. PSI memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang diragukan.

- Wang AS$1 bilion itu mewakili sumbangan 1MDB kepada 40 peratus pegangan sahamnya. Bagaimanapun, usaha sama ini tidak dimasuki dengan PSI sebaliknya melalui satu syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid melaksanakan perjanjian bagi mewakili PetroSaudi Holding (Cayman).

- Bukti yang akan dikemukakan menunjukkan usaha sama yang dilakukan itu adalah tidak normal yang mendedahkan bahawa ia hanyalah satu alat untuk menyedut wang 1MDB bagi faedah tertuduh.

- Pendakwaan melalui keterangan lisan dan dokumentasi akan membuktikan bahawa AS$700 juta daripada jumlah AS$1 bilion itu, bukannya dibayar ke akaun syarikat usaha sama itu sebaliknya dialihkan kepada tertuduh melalui sebuah syarikat bernama Good Star Ltd yang sebenarnya syarikat itu langsung tidak berkaitan dengan usaha sama berkenaan. Ia diperbadankan di Seychelles pada 18 Mei 2009 iaitu lima bulan sebelum perjanjian usaha sama itu dimasuki dan ia juga sebuah syarikat dimiliki dan dikawal oleh Jho Low.

- Pembayaran Good Star dibuat dengan tergesa-gesa dan tanpa kelulusan daripada Lembaga Pengarah 1MDB dan bercanggah dengan hala tuju syarikat. Good Star telah digambarkan sebagai anak syarikat PSI yang dimiliki dan dikawal oleh Jho Low.

- Pembayaran kepada Good Star, diserahkan kepada tertuduh melalui Jho Low sebagai wang yang dimiliki oleh perjanjian usaha sama yang disebut pinjaman yang dibayar oleh perjanjian usaha sama, juga dirujuk sebagai pinjaman yang dibayar oleh syarikat usaha sama kepada PetroSaudi Holding (Cayman). 

- Pihak pendakwaan melalui dokumen akan menunjukkan bahawa pinjaman itu adalah palsu bagi menjustifikasikan pembayaran kepada Good Star.

Berita Harian X