Selasa, 27 Ogos 2019 | 3:42pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - NSTP/Asyraf Hamzah

MB Perak pangku tugas EXCO bercuti kes rogol

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memangku semua porfolio Paul Yong Choo Kiong yang bercuti daripada tugasan rasminya sebagai ahli EXCO kerajaan negeri untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan tuduhan kes merogol pembantu rumah yang dihadapinya.

Ahmad Faizal berkata, tidak sebarang masalah bagi pihaknya kerana sebarang keputusan berkaitan dasar dibuat oleh mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan bukan EXCO yang menyandang sesuatu jawatan itu.

“Kita bersetuju dengan tindakan dibuat Paul Yong untuk bercuti menjalankan tugas sebagai EXCO dan tidak hadir pada mesyuarat yang membabitkan keputusan kerajaan, saya kira ini tindakan tepat untuk beliau memberi fokus sepenuhnya kepada perbicaraan yang dihadapi.

“Tugasan boleh berjalan seperti biasa, sebagai contoh, beliau memegang portfolio perumahan, saya pula Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, jadi tiada masalah, saya boleh pikul tanggungjawab itu, dan juga portfolio lain saya akan pegang buat sementara waktu.

“Alhamdulillah kita ada menteri besar yang masih sihat, mampu menjalankan tugas tambahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam negeri sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Perak, di sini, hari ini.

Kelmarin, Choo Kiong mengumumkan bercuti daripada tugasan rasminya sebagai ahli EXCO kerajaan negeri yang menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, tetapi akan meneruskan perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

Jumaat lalu, Choo Kiong, 49, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat sini, antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Beliau yang juga Bendahari DAP Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Ditanya tindakan dilakukan sekiranya perbicaraan mengambil tempoh yang panjang, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan memikirkan semula apa tindakan yang baik untuk negeri pada ketika itu termasuk kemungkinan melakukan rombakan EXCO.

“Sekarang saya kira tidak perlu kita tetapkan satu jangka masa dan sebagainya, biar dia (Choo Kiong) fokus dengan kes beliau, dan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawab untuk menjalankan pentadbiran seperti biasa.

“Saya tidak nampak (ada keperluan merombak EXCO), saya nampak pentadbiran hari ini cukup kemas walaupun Paul Yong ambil keputusan untuk bercuti tetapi nampaknya kita tidak perlu buat apa-apa perubahan,” katanya.

Berhubung majlis angkat sumpah EXCO, beliau berkata ia adalah di luar kawalannya kerana ia adalah hak Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membuat keputusan.

Katanya, beliau ada mengadap Sultan Nazrin baru-baru ini untuk berbincang perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri, namun perkara mengenai isu mengangkat sumpah EXCO tidak dibangkitkan.

Berita Harian X