Isnin, 26 Ogos 2019 | 4:02pm
Latheefa Koya (tengah) diiringi Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu, Mohd Zaki Hassan (kanan) dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun (kiri) pada Sesi Dialog Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di hotel Primula. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kerajaan negeri digesa laksanakan pengisytiharan harta ADUN

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua kerajaan negeri melaksanakan pengisytiharan harta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai komitmen terhadap aspek integriti dan ketelusan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata kerajaan negeri juga disaran mewujudkan pegawai integriti di pejabat Menteri Besar bagi mengelakkan tohmahan dan memulakan proses dengan ketelusan.

Setakat ini, beliau berkata, hanya Perak mewajibkan ADUN mengisytiharkan harta, manakala Pejabat Ketua Menteri Sarawak pula yang pertama mewujudkan pegawai integriti, sekali gus berharap kerajaan negeri lain mencontohi langkah itu.

“Peringkat kerajaan negeri jika dibandingkan dengan Kerajaan Persekutuan, ada lebih akses kepada sumber seperti pembalakan dan tanah. Ini menjadikan potensi untuk isu rasuah lebih (tinggi) pada peringkat negeri.

“Kami berharap kerajaan negeri mengambil serius perkara ini sebagai langkah yang boleh dilakukan bagi mengelak isu berkenaan melalui pengisytiharan harta dan ketelusan membabitkan perolehan.

“Ia boleh dibantu dengan adanya pegawai integriti pada peringkat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Bersama Industri Hotel dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, bagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pengisytiharan harta serta mewujudkan pegawai integriti terbabit berikutan tiada undang-undang mewajibkannya, setakat ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau berpeluang mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam, serta berbincang mengenai tindakan boleh dilakukan, dan kerajaan negeri positif dalam memulakan langkah ke arah integriti serta ketelusan.

“Kita tidak ada undang-undang mewajibkan tetapi ia dilakukan atas inisiatif yang menunjukkan mereka serius.

“Kita bukan boleh memaksa mereka tetapi jika diluluskan (berhubung pengisytiharan harta pada peringkat negeri), maklumat itu boleh disalurkan kepada kami,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta masing-masing.

Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka, termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Berita Harian X