Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:56pm
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang (lima, kanan) bersama sebahagian para pengusaha kilang selepas membuat satu laporan polis berhubung dakwaan beliau mengugut seorang penjawat awam supaya kilang-kilang yang disita di Pasir Gudang ekoran kejadian pencemaran, dibenarkan beroperasi semula seperti biasa. Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa membuat laporan berkenaan di Balai Polis Bandar Dato Onn, hari ini. - Foto BERNAMA

Pengerusi BERSATU Johor buat laporan polis isu ugut penjawat awam

JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang, membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau mengugut seorang penjawat awam supaya kilang yang disita di Pasir Gudang susulan kejadian pencemaran, dibenarkan beroperasi semula seperti biasa.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa membuat laporan itu di Balai Polis Bandar Dato Onn di sini, jam 5.30 petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mazlan berkata tujuan beliau membuat laporan untuk menyatakan perkara sebenar dan membolehkan siasatan lanjut mengenai dakwaan terbabit dilakukan pihak berkuasa.

“Seperti tular di laman Facebook, ia memang betul suara saya (rakaman suara panggilan telefon kepada penjawat awam), tetapi tiada perkataan saya menyuruh membuka (beroperasi semula) kilang haram. Suara saya jelas adalah untuk membantu pengusaha kecil yang terjejas di kawasan Kampung Pasir Putih.

“Saya hanya menelefon sebagai tanggungjawab wakil rakyat. Saya bercakap untuk meminta pihak berkuasa membolehkan semula operasi peniaga berkenaan,” katanya.

Mazlan yang dihubungi semalam, dilaporkan berkata isu ugutan itu adalah fitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kurang baik beliau terhadap masyarakat selain dimanipulasikan daripada keadaan sebenar yang berlaku. - BERNAMA

1779 dibaca
Berita Harian X