Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:51pm
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas mengalami gangguan teknikal sejak beberapa hari lalu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Gangguan sistem di KLIA bukan kerana aktiviti serangan siber - NACSA

PUTRAJAYA: Tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan membabitkan gangguan kepada sistem dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam satu kenyataan malam ini.

Pihak berkenaan memaklumkan sudah mula melaksanakan pemantauan dengan kerjasama dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebaik saja gangguan mula dikesan pada 21 Ogos lalu.

“Penemuan awal siasatan yang dilaksanakan oleh MAHB mendapati kejadian ini disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian. Tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan setakat ini.

“Usaha pada masa kini ditumpukan bagi memulihkan sepenuhnya operasi di KLIA dan klia2,” katanya.

Mengikut kenyataan itu, tindakan perlu sudah dan sedang dilaksanakan oleh pihak MAHB untuk memastikan operasi kembali pulih seperti sedia kala dengan kadar segera.

“Pemantauan rapi dan siasatan lanjut akan terus dilaksanakan oleh NACSA bersama- sama dengan agensi terbabit,” katanya.

Sistem rangkaian di KLIA hari ini kembali beroperasi seperti sediakala selepas mengalami gangguan teknikal sejak Rabu lalu, namun pemantauan berterusan dilakukan MAHB bagi memastikan kestabilan sistem rangkaiannya.

Sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) kembali berfungsi malah kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) tidak lagi dilakukan secara manual.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata masalah gangguan sistem dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau berkata sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

994 dibaca
Berita Harian X