Sabtu, 24 Ogos 2019 | 9:53pm
Akaun Instagram miliknya, Syed Saddiq.

Semua pihak perlu berlapang dada - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Biarpun sebelum ini menggesa Dr Zakir Naik dihantar pulang, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengajak semua pihak supaya berlapang dada dalam isu membabitkan pendakwah itu.

Dalam hantaran di akaun Instagram miliknya, Syed Saddiq menggesa semua pihak tidak mengeruhkan keadaan kerana Dr Zakir sudah meminta maaf susulan kenyataan kontroversinya.

Beliau yang turut memuat naik empat gambar pertemuannya dengan pendakwah terbabit berkata, tiada seorang pun dalam dunia ini yang bebas daripada melakukan kesilapan.

“Saya sendiri banyak kali melakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur. Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi.

“Tidak perlu nak menghina dan mencaci. ‘Let’s move on’ (marilah kita meneruskan kehidupan). ‘The country needs healing’ (negara ini perlu dipulihkan),” katanya.

Syed Saddiq berkata, Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa serta agama dan setiap orang ada sumbangannya tersendiri.

Katanya, rakyat negara ini percaya kepada kesederhanaan mengatasi ekstremisme.

“Kesatuan kita, adalah kekuatan kita. Mereka adalah rakyat Malaysia, sama seperti saya. Mari kita terus mengikat masa depan kita bersama.

“’Unity in diversity. Stronger, together, forever’ (Perpaduan dalam kepelbagaian. Kekuatan, bersama, selamanya),” katanya.

Dr Zakir sebelum ini dilaporkan memberi kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Susulan tindakan itu, beberapa menteri Kabinet termasuk Syed Saddiq menggesa supaya pendakwah terbabit dihantar pulang ke negara asalnya di India kerana cuba menggugat keharmonian kaum di negara ini.

4659 dibaca
Berita Harian X