Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:54pm
PETUGAS KLIA sentiasa bersedia menawarkan khidmat membantu penumpang mendaftar masuk penerbangan.
PETUGAS KLIA sentiasa bersedia menawarkan khidmat membantu penumpang mendaftar masuk penerbangan.

Tahniah wira dan wirawati KLIA

SEJURUS keluar dari lif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu, saya disambut petugas yang membantu penumpang untuk daftar masuk penerbangan mereka.

"Encik mahu ke mana?, " tanya seorang wanita yang memakai vest berwarna kuning.

Saya kemudian memaklumkan mahu ke Labuan menaiki penerbangan jam 7.35 malam.

Melihat saya membawa troli dengan bagasi besar, petugas itu kemudian bertanya sama ada saya telah membuat daftar masuk menerusi talian.

Saya maklumkan telah daftar masuk dan memperoleh pas pelepasan di terminal Sentral Kuala Lumpur, tetapi bagasi besar perlu diserah di kaunter KLIA.

Petugas itu kemudian meminta saya terus ke kaunter B. Selepas beberapa meter menolak troli, seorang lagi petugas, kali ini lelaki bertanya destinasi saya.

Dia kemudian menunjukkan ke arah kaunter B. Sepanjang laluan kira-kira 50 meter itu sahaja lebih 30 petugas membantu penumpang untuk mendaftar penerbangan dan menyerahkan bagasi mereka.

Petugas berada di mana-mana sahaja sehingga ke kaunter pendaftaran untuk membantu melancarkan pendaftaran akibat gangguan terhadap sistem rangkaian komputer bermula Rabu lalu.


PETUGAS KLIA sentiasa bersedia menawarkan khidmat membantu penumpang mendaftar masuk penerbangan.

Mereka bertugas selepas KLIA mengalami masalah teknikal yang berpunca dari pelayan komputer hingga menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan serta kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

Saya sempat berbual dengan beberapa petugas. Sesetengah mereka sukarelawan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), anak syarikat MAHB dan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Seorang daripada mereka adalah kakitangan Jabatan Kewangan Malaysia Airlines yang namanya tidak mahu disiarkan.

Wanita itu mengakui kepenatan, tetapi bangga dapat menyumbang kepada syarikat dan membantu penumpang.

Seorang pegawai kanan syarikat penerbangan nasional itu pula berkata, kira-kira 200 petugas sukarela daripada pelbagai jabatan turun padang membantu.

Turut sama, kakitangan Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd milik MAHB atau Eraman yang mempunyai premis perniagaan pelbagai produk di KLIA.


PETUGAS KLIA sentiasa bersedia menawarkan khidmat membantu penumpang mendaftar masuk penerbangan.

Selepas pemeriksaan keselamatan di bahagian pelepasan domestik, saya dan rakan sekerja Osman Lisut menuruni tangga untuk ke balai berlepas di pintu A4.

Untuk kepastian, kami singgah di hujung bahagian jualan minyak wangi apabila melihat kira-kira 10 petugas membantu melayan pertanyaan penumpang yang kebanyakannya mahu memastikan pintu balai berlepas dan jadual penerbangan yang sering berubah.

Saya melihat pada papan putih yang tertulis maklumat penerbangan MH2636 ke Labuan kekal jam 7.35 malam, lantas terus ke pintu A4.

Kami menunggu di sekitar kawasan berkenaan dan menjelang jam 6.35 petang yang sepatutnya waktu masuk ke balai berlepas, pintunya masih belum dibuka.

Saya dapat agak penerbangan kami juga terjejas seperti beberapa penerbangan lain. Masih belum ada tanda-tanda pesawat akan berlepas mengikut jadual dan penumpang mulai resah. Tidak lama kemudian muncul beberapa petugas di depan pintu A4.


PETUGAS KLIA sentiasa bersedia menawarkan khidmat membantu penumpang mendaftar masuk penerbangan.

Beberapa penumpang, termasuk saya menyerbu mereka untuk mendapatkan maklumat terkini. Kami kemudian dimaklumkan penerbangan ditunda selama dua jam dan pintu berlepas ditukar kepada pintu A10.

Penumpang diberi kupon makan malam dan mereka kemudian ada yang beratur di kedai makanan segera, selain yang beragama Islam menunaikan solat Maghrib. Mujur lokasi surau hampir dengan lokasi kedai berkenaan.

Ketika penumpang mula beratur membeli makanan dan bersolat, petugas memaklumkan pesawat sudah bersedia untuk terbang dan kami diarahkan segera ke pintu balai berlepas kerana pintu akan ditutup dalam masa 10 minit.

Pada masa sama pengumuman dibuat menerusi sistem pembesar suara. Maka bergegas penumpang berlari anak ke pintu A10 supaya tidak ketinggalan pesawat.

Saya dimaklumkan oleh petugas, jadual penerbangan dipercepatkan kerana landasan dan ruang udara boleh digunakan untuk pesawat berlepas.

Katanya, walaupun pesawat sudah bersedia lebih awal, pihak berkenaan tidak mahu penumpang masuk awal supaya tidak keresahan dalam pesawat. Tambahan pula belum ada pengesahan waktu sebenar pelepasan daripada menara kawalan.

Saya berpuashati dengan penjelasan beliau dan mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada rakan setugasnya yang cemerlang menunaikan misi mereka.

Keadaan terkawal walaupun ramai penumpang keresahan. Layanan petugas amat cemerlang walaupun mereka tidak dapat menjawab semua pertanyaan penumpang.

Kami berlepas kira-kira jam 8.50 malam, sejam lebih sedikit daripada jadual asal dan selamat mendarat jam 11 malam.

Bagi saya walaupun keadaan di KLIA agak kelam kabut dan ramai penumpang terpaksa menunggu lama serta lewat sampai, kecemerlangan petugas, terutama sukarelawan wajar dipuji.

Terima kasih dan tahniah wira serta wirawati barisan depan krisis gangguan sistem rangkaian KLIA.

7428 dibaca
Berita Harian X