Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:04pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Foto Hafiz Sohaimi

Saya terima apa saja keputusan Perdana Menteri: Waytha Moorthy

MELAKA: “Kita mesti bersedia untuk segala keadaan (rombakan portfolio) dan ia terpulang kepada Perdana Menteri,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Beliau mengulas laporan media hari ini mengenai spekulasi Dr Mahathir dijangka merombak sekurang-kurangnya tiga portfolio berserta Menteri dalam Kabinet sedia ada.

Antara portfolio yang dikatakan menjadi tumpuan termasuk Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang dipegang Waytha Moorthy; Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Datuk Seri Rina Harun dan Pendidikan yang kini dipegang Dr Maszlee Malik.

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata, sebarang isu berhubung Kabinet adalah terserah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Itu (rombakan) terpulang kepada Perdana Menteri, saya tak boleh komen. Itu budi bicara mutlak Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema “Colour of Unity” anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di Elements Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Tech Food, R Narendranath.

Kelmarin, Perdana Menteri mengesahkan tiada rombakan Kabinet seperti yang didakwa beberapa pihak, sebaliknya hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.

9592 dibaca
Berita Harian X