Sabtu, 24 Ogos 2019 | 6:33pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyampaikan replika cek kepada Lem Kok Yong sambil diperhatikan, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) ketika majlis penyerahan wang pendahuluan pinjaman (WPP) PTPTN kemasukan sesi September 2019 Parlimen Kulai di Saleng, Kulai. - Foto Hairul Anuar Rahim

Terpulang kepada PM - Nie Ching

KULAI: Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, menyerahkan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada beliau akan dikekalkan atau ditukarkan ke portfolio baharu.

Nie Ching berkata, beliau bukanlah individu yang layak memberi komen mengenai perkara itu kerana menjadi hak mutlak Perdana Menteri membuat keputusan terbaik barisan Kabinet serta timbalan menterinya.

“Itu semua (dikekalkan atau tukar portfolio) terpulang kepada Perdana Menteri. Saya tak layak beri komen.

“Kementerian Pendidikan sangat dekat di hati saya dan saya gembira di sini.

“Namun saya akan akur pada setiap ketetapan Perdana Menteri, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian wang pinjaman pendahuluan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kemasukan Sesi September 2019 Parlimen Kulai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi)PTPTN,Mastura Mohd Khalid.

Khamis lalu, BH melaporkan Dr Mahathir menegaskan akan melakukan pertukaran portfolio dalam kalangan menteri dan timbalan menteri namun menolak andaian rombakan Kabinet.

Berita Harian X