Sabtu, 24 Ogos 2019 | 6:29pm
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat PKR Terengganu dan Program Dialog Terbuka di Dewan Besar KEADILAN, Bukit Besar, Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan

Tiada halangan laksana GoJek

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal GoJek, namun mahu kerajaan mengutamakan perkhidmatan sama yang dikendalikan penyedia tempatan, Dego Ride.

Presiden PKR itu berkata beliau tiada halangan terhadap pelaksanaan GoJek kerana perkhidmatan itu satu pilihan baharu untuk pengguna selain pengangkutan awam.

“Kita ada penyedia perkhidmatan teksi motosikal tempatan, Dego Ride dan bagi saya lebih baik kita bantu Dego Ride yang sudah bertapak kerana mereka ini mengharapkan sokongan kerajaan.

“Tugas kita sebagai kerajaan adalah untuk mencari kepakaran, syarikat dan usahawan tempatan untuk diberi galakan dan sokongan.

“Tidak kisah Dego Ride atau Gojek, bagi saya akan pilih yang tempatan,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Presiden di Bangunan PKR negeri di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut merasmikan bangunan berkenaan dan mengadakan dialog selama satu jam bersama ahli PKR seluruh negeri. Turut hadir Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Beliau berkata, sekiranya ada tawaran daripada syarikat tempatan, adalah lebih baik ia diketengahkan dan dibantu sebelum membawa masuk perkhidmatan yang bertapak di luar negara.

“Bagi saya, pilihan saya tentunya yang tempatan dan jika tiada, baru kita pilih perkhidmatan luar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilaporkan berkata selain memberi peluang pekerjaan kepada ‘Mat Motor’, pelaksanaan GoJek bertujuan membantu usahawan muda.

Beliau dilaporkan berkata, Kabinet sebulat suara meluluskan GoJek atau Dego Ride dan kerajaan ikhlas ingin memastikan golongan ‘Mat Motor’ mendapat peluang pekerjaan.

Berita Harian X