Sabtu, 24 Ogos 2019 | 5:47pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik.

'Serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri'

KUALA TERENGGANU: Semua pihak terbabit perlu berlapang dada sekiranya berlaku pertukaran kecil portfolio dalam Kabinet.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik, berkata pertukaran kecil mungkin dilaksanakan itu adalah usaha Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan anggota Kabinet serba boleh.

Katanya, ia juga bagi menambah baik dan meningkatkan prestasi perkhidmatan kerajaan.

Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memutuskan langkah terbaik mengikut keperluan semasa kerajaan dan masyarakat.

“Pertukaran portfolio (jika dilaksanakan) tidak akan menjejaskan dasar dirangka kerajaan, sebaliknya lebih kepada menjadikan anggota Kabinet serba boleh dan berkemahiran,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Jumpa Rukun Tetangga di Kampung Gong Baru, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir menegaskan bahawa tiada menteri baharu akan menganggotai Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Mengulas lanjut, Dr Md Farid, berkata beliau akan menghormati sebarang keputusan Perdana Menteri dan akur sekiranya ditukarkan portfolio.

Sementara itu mengulas isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik pula, beliau berkata, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan jika dibiar, boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini.

“Kerajaan memandang serius isu Jalur Gemilang dipasang terbalik dan jika dibiar, ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ia satu penghinaan terhadap bendera Malaysia dan pelakunya boleh dianggap tidak beradab dan tidak menghargai erti kemerdekaan serta pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara.

“Kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak terbabit,” katanya.

Berita Harian X