Sabtu, 24 Ogos 2019 | 3:49pm
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. - NSTP/Khairunisah Lokman

Sedia terima apa sahaja tugas - Shamsul Iskandar

MELAKA: “Saya bersedia menerima apa sahaja tugas yang diberikan oleh Perdana Menteri,” kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika mengulas cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penyusunan semula Kabinet.

Shamsul Iskandar berkata, sebagai kepemimpinan kanan parti selaku Ketua Penerangan PKR beliau percaya Perdana Menteri boleh menilai peranan yang dimainkannya sehingga diberi kepercayaan bergandingan dengan Teresa Kok bagi bersama-sama memperkasakan sektor komoditi negara.

“Saya fikir dalam setahun ini tiada sebarang isu besar dimainkan melainkan ada pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu seperti buluh. Bagaimanapun, kita dapat menjawab (beri pencerahan) mengenai isu ini.

“Malah, wacana buluh ini sebenarnya semakin menerima reaksi positif khususnya dalam menambah sumber pendapatan baharu bagi hasil komoditi negara. Saya sendiri dijemput oleh Australian National University (ANU) di Canberra, Australia minggu depan untuk berucap mengenai pembaharuan yang dibuat oleh kementerian,” katanya.

Terdahulu Shamsul Iskandar ditemui selepas hadir pada majlis Demonstrasi Masakan ‘Sayangi Sawitku’ bersama chef selebriti, Florence Tan sempena Melaka Food Festival 2019 di Jalan Kota, Bandar Hilir, di sini, hari ini.

BH semalam melaporkan Dr Mahathir mengesahkan bercadang melakukan penyusunan semula Kabinet tetapi menafikan akan melantik menteri baharu.

Sumber memberitahu BH, beberapa menteri akan terbabit dalam pertukaran portfolio termasuk kemungkinan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipecahkan bidang kuasa.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, beliau ada menyatakan dalam mesyuarat Kabinet mengenai cadangan melakukan sedikit pertukaran portfolio, namun belum memutuskan bila dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, sebarang pertukaran skop tugas dalam Kabinet merupakan hak Perdana Menteri selepas lebih setahun menilai pencapaian kesemua barisan Kabinet.

“Sudah pastilah kita ada sistem Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menjadi penanda aras untuk Perdana Menteri membuat penilaian. Saya fikir ini merupakan satu tindakan munasabah.

“Tentulah dalam urusan ini, semua ketua parti akan dipanggil serta diminta pandangan yang menjadi muafakat Pakatan Harapan (PH) untuk sama-sama berbincang dan membuat keputusan,” katanya.

Berita Harian X