Sabtu, 24 Ogos 2019 | 2:14pm
MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas Program Bicara Kemerdekaan Kedua bertajuk 'Mampukah Kita Membina Negara Bangsa Malaysia' di Akademi Kenegaraan. - Foto BERNAMA

Perguna isu '3R', polis diarah bertindak tegas

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R) yang boleh mencetuskan sentimen kebencian melampau antara kaum.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berikutan data yang dikumpulkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan dua kali ganda pada tahun ini terhadap tahap kecenderungan pihak tertentu mahu memainkan isu berkaitan 3R bagi mencetuskan sentimen perkauman berbanding tahun lalu.

Katanya, pihak terbabit menggunakan isu 3R untuk mewujudkan sentimen perkauman kerana sebab tertentu termasuk muslihat politik atau tidak puas hati dengan perkara tertentu dalam negara.

Justeru, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan menerusi segala undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 kerana ia menunjukkan sesuatu yang tidak baik terhadap keamanan dan keselamatan negara.

“Akta Hasutan buat masa sekarang masih dikuatkuasakan. Soal ia hendak dipinda atau dihapuskan adalah perkara kedua. Ia masih ada, belum dimansuhkan.

“Saya hendak mengingatkan jangan ‘main-main’. Polis ada. Mereka tahu dan diberi arahan untuk gunakan apa juga undang-undang yang ada.

“Akta Hasutan selagi ia belum dimansuhkan, ia masih dikuatkuasakan. Soal sama ada ada yang setuju atau tidak, itu soal lain. Saya fikir semua orang setuju kerana yang penting soal keamanan dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama dalam majlis forum Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran Akademi Harimau Asia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penyelaras Akademi Harimau Asia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin berkata, kerajaan bimbang dengan kecenderungan kumpulan terbabit yang berterusan memainkan isu 3R kerana ia akan meningkatkan lagi ‘suhu’ perkauman di negara ini.

Beliau meminta semua kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum dan agama berhenti memainkan isu berkenaan.

“Dalam situasi sekarang kita mahu rakyat, ‘suhu’ yang meningkat berdasarkan sentimen kaum dan agama dapat diturunkan. Secepat mana boleh turun kita tidak tahu, tetapi lebih cepat lebih baik untuk negara.

“Kalau ada pihak masih tidak puas hati, tidak kira tahap suhu (perkauman) meningkat, ia akan jadi tidak baik. Sebagai menteri saya beri amaran tegas dan memaklumkan kepada polis supaya tidak bertolak ansur dalam keadaan begini.

“Saya tidak mahu apa yang terbina selama ini diruntuhkan. Kita akan sambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62 beberapa hari lagi. Ia boleh runtuhkan negara disebabkan perbuatan pengkhianatan pihak tidak bertanggungjawab ini.

“Memang betul dalam Pakatan Harapan (PH) kita benarkan kebebasan bersuara dan media bebas melaporkan, tetapi perlu ada ada rasa tanggungjawab,” katanya.

Mengulas perhimpunan di Brickfields, Muhyiddin berkata, beliau mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2019.

Berita Harian X