Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:52pm
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Tindakan tegas jika hadir perhimpunan di Brickfields - Ketua Polis KL

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan penganjur dan individu menghadiri perhimpunan tanpa kebenaran yang dirancang dilakukan di kawasan Brickfields, malam ini dan esok.

Perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil pada jam 7 malam ini dan himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians dan Other Races’ dijadual diadakan jam 2 petang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya sudah menugaskan kekuatan anggota mencukupi bagi memastikan keselamatan dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap mereka yang masih berdegil hadir perhimpunan terbabit.

Katanya, sekatan jalan raya dan lencongan lalu lintas membabitkan tiga laluan utama menghala ke kawasan Little India di Brickfields juga turut dilakukan.

“Laluan terbabit adalah Jalan Tun Sambanthan, Jalan Bank Rakyat dan susur Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India, Brickfields.

“Kita tidak membenarkan perhimpunan ini dibuat atas sebab keselamatan, kita beri amaran keras kepada mereka yang masih berdegil menghadirinya dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

“Individu menyertai perhimpunan ini akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, isu ingin dibangkitkan itu sudah diselesaikan kerajaan, jadi tidak ada sebab untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

Katanya, polis sudah menerima permohonan daripada penganjur, namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kebenaran dan polis juga menolak permohonan itu atas isu keselamatan.

Berita Harian X