Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:50pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar minta penganjur hentikan perhimpunan

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penganjur himpunan ‘Say No to Zakir Naik’ serta beberapa himpunan lain menghentikan sebarang perhimpunan anjuran mereka kerana tiada keperluan untuk melakukannya.

Beliau berkata, keadaan sudah reda dan Dr Zakir Naik juga sudah dilarang untuk berceramah di seluruh negara oleh polis.

“Meneruskan bantahan itu hanya akan meningkat serta memanaskan suhu politik negara sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians and Other Races dijadualkan dianjurkan di Brickfields, di sini, esok.

Namun, polis dalam kenyataannya hari ini menyatakan akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika penganjur terus berdegil meneruskan perhimpunan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata penganjur sudah dinasihatkan tidak meneruskan perhimpunan itu kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan mengikut akta berkenaan.

Berita Harian X