Jumaat, 23 Ogos 2019 | 4:01pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menunjukkan demonstrasi penggunaan Pas Mutiara untuk Bas dan Feri Pulau Pinang di Terminal Bas Weld Quay, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Mekanisme baharu dibentuk untuk GoJek

GEORGETOWN: Kementerian Pengangkutan yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, GoJek, yang dilihat mengundang sensitiviti kepada masyarakat Muslim.

Menterinya, Anthony Loke, berkata pihaknya melihat perkhidmatan teksi motosikal itu memberi lebih banyak kebaikan, khususnya dalam memupuk sikap bertanggungjawab kepada penunggang motosikal.

“Kabinet memberi masa sebulan kepada kementerian mengkaji perundangan dan bagaimana ia harus dilaksanakan. Semua isu itu (termasuk isu agama), akan kita bincangkan.

“Saya yakin kita akan ada satu mekanisme untuk membenarkan GoJek dilaksanakan tanpa mengguris hati mana-mana pihak. Apa yang lebih menjadi keutamaan adalah ciri keselamatan kepada penunggang dan penumpang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pas Mutiara Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Weld Quay di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang berpendapat pelaksanaan GoJek dilihat boleh mengundang fitnah berikutan penunggang dan pelanggan adalah bukan mahram.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan membuat kajian berhubung mekanisme pelaksanaan, selain undang-undang berkaitan khusus untuk perkhidmatan itu di Malaysia.

Sementara itu, Loke mengesahkan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, akan mula berkuat kuasa mulai 1 September ini.

“Setahu saya, perkara ini bukan di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi saya boleh mengesahkan Kabinet bersetuju menguatkuasakan levi pelepasan ini berkuat kuasa 1 September ini,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji struktur cukai dikenakan terhadap penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan perkhidmatan penuh.

Mengulas perbincangan berkaitan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP), Loke berkata ia masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Katanya, ketika ini, pihaknya hanya mengadakan pertemuan membabitkan wakil pegawai daripada Kerajaan Kedah dan Kerajaan Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu pembinaan KXP.

“Ia bukan rancangan pihak kerajaan, tetapi projek swasta. Kita belum ada keputusan sama ada akan jadi lapangan terbang kargo atau tidak, ini terpulang kepada pihak pemaju terbabit,” katanya.

Berita Harian X