Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:48pm

Tindakan tegas penganjur buat perhimpunan bantah Zakir Naik

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika penganjur terus berdegil meneruskan perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races di Water Fountain Little India, Brickfields, esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata penganjur sudah dinasihatkan tidak meneruskan perhimpunan itu kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan mengikut akta berkenaan.

“Jika mereka tetap meneruskan perhimpunan, siasatan dan tindakan akan diambil mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 serta undang-undang lain berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Arifai dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan polis sudah menerima notis pemakluman daripada penganjur mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung hasrat mereka menganjurkan perhimpunan itu dijangka bermula jam 2 petang.

“Bagaimanapun, notis dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat tidak menyertai perhimpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, S Shankar Ganesh ketika dihubungi BH semalam, memaklumkan perhimpunan itu akan tetap diteruskan dan dijangka antara 10,000 hingga 80,000 orang akan hadir.

“Perhimpunan itu sudah diketahui umum dan ramai menyatakan kesediaan menyertainya, justeru kita tidak boleh menghalang mereka hadir dan berhimpun bagi menyuarakan hasrat mereka.

“Sebagai penganjur, kita berjanji menjalankan perhimpunan secara aman dan kita juga sudah maklumkan kepada polis berhubung perkara ini.

“Kita yakin polis akan turun ke lokasi untuk membuat pemantauan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran perhimpunan ini bukan bermaksud mereka menentang Islam, sebaliknya menganggap Dr Zakir sebagai individu tidak sensitif kepada kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Berita Harian X