Khamis, 22 Ogos 2019 | 6:55pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri Sesi 2 di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. - Foto BERNAMA

Pertukaran portfolio melicinkan lagi pentadbiran kerajaan

KUALA LUMPUR: Pertukaran portfolio menteri seperti yang disahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilihat memantapkan lagi pentadbiran kerajaan selain mengambil kira prestasi menteri selepas lebih setahun berada dalam Kabinet.

Difahamkan, hanya beberapa kementerian akan terbabit dengan pertukaran portfolio itu, yang mengambil kira latar belakang dan pencapaian menteri berkenaan.

Seperti ditegaskan Perdana Menteri, pertukaran portfolio itu mungkin membabitkan perubahan kecil.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mungkin akan dipecahkan bidang kuasanya yang mana dasar berkaitan perancangan kerajaan termasuk bidang kuasa yang ada di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Namun, tidak dapat dipastikan ia boleh dilaksanakan kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) menetapkan Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio menteri selain tugas hakikinya saja, sebagai Perdana Menteri.

Kementerian yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan syarikat berkaitan kerajaan seperti PETRONAS, FELDA, FELCRA, RISDA dan TABUNG HAJI.

Desas desus yang menyatakan bakal diwujudkan satu lagi kementerian serta usaha membawa masuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dinafikan Dr Mahathir.

Ada cubaan membawa masuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kabinet, namun difahamkan tidak mendapat persetujuan ramai memandangkan ada persefahaman dalam PH mengenai peralihan kuasa membabitkan Anwar untuk jawatan Perdana Menteri.

Antara pertukaran portfolio itu membabitkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang kemungkinan besar akan diserahkan kepada menteri dari Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, kedua-dua negeri memang melobi supaya kementerian itu diterajui wakil mereka supaya jurang kemajuan antara kedua-dua negeri itu dapat dirapatkan dengan pembangunan negeri di Semenanjung.

Faktor Menteri sedia ada yang bukan mewakili rakyat luar bandar dilihat sebagai faktor utama mengapa beliau dipindahkan ke kementerian lain.

Ada kemungkinan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, dipindahkan ke Kementerian Wilayah Persekutuan kerana beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa yang terletak di ibu kota.

Calon yang disebut-sebut menggantikan Rina adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Difahamkan, ketika proses perbincangan pembentukan Kabinet pada Mei 2018, WARISAN sememangnya sangat berminat dengan portfolio berkenaan.

Berita Harian X