Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:35am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Rombakan Kabinet dalam masa terdekat?

KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet mungkin berlaku dalam masa terdekat berikutan pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Pakatan Harapan yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018, semalam.

Difahamkan pertemuan itu bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara berkaitan portfolio dan kementerian.

Menguatkan lagi berita rombakan Kabinet itu pengesahan PKR mengenai ketidakhadiran Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan Perdana Menteri, semalam sebaliknya PKR diwakili Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PKR dalam satu kenyataan menjelaskan jemputan Perdana Menteri diberikan kepada pimpinan Pakatan Harapan yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018, dan pertemuan itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab tuduhan pemimpin PH, Datuk Khairuddin Abu Hassan dalam laman Facebook beliau yang menuduh Anwar sengaja tidak hadir satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, petang semalam.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata PKR diwakili Dr Wan Azizah yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah Presiden parti itu.

“Maka PKR berpandangan tuduhan yang dilempar Khairuddin bahawa Anwar tidak menghormati konsensus PH adalah tidak berasas dan berniat jahat,” katanya.

Beberapa sumber mengesahkan mengenai rombakan Kabinet dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.

Antara nama yang disebut akan menyertai Kabinet, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamad.

Tidak dapat dipastikan portfolio yang bakal diterajuinya, namun ramai percaya Mustapa atau Tok Pa akan diberikan kepercayaan menerajui MITI berikutan khidmat cemerlang beliau ketika menerajui kementerian itu pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Berita rombakan Kabinet ini, sudah beberapa kali dilaporkan dan kali terakhir pada 19 Julai lalu, namun perkara itu dinafikan Perdana Menteri.

Dr Mahathir menolak khabar angin bahawa sekeping gambar yang diambil pada Jumaat yang memaparkan seluruh jemaah menteri, menandakan akan berlaku rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Sebaliknya, kata beliau gambar itu diambil sebelum mesyuarat mingguan di Pejabat Perdana Menteri bagi menandakan pertemuan yang jarang-jarang berlaku apabila semua menteri hadir tanpa pengecualian.

Gambar berkenaan dikongsi beberapa menteri termasuk Dr Wan Azizah di media sosial.

7986 dibaca
Berita Harian X