Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:21pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar bersama Pengerusi ASLI, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (kanan) dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim (kiri) selepas memperkenalkan biasiswa Tun Dr Siti Hasmah bernilai RM10 juta menerusi Yayasan Jeffery Cheah pada Majlis Makan Malam Gala sempena Hari Wanita Kebangsaan, di Petaling Jaya, malam ini. - Foto BERNAMA

Dr Siti Hasmah diumum 'Ibu Negara'

PETALING JAYA: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bersyukur dan kelihatan sebak serta hampir menitiskan air mata ketika berucap selepas diumumkan sebagai ‘Ibu Negara' oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sebentar tadi.

Beliau berkata anugerah itu begitu bermakna dan berharap dapat berkongsi saat gembira dengan Allahyarham ibu bapa dan adik beradiknya termasuk abangnya, Tun Ismail Mohd Ali dan kakaknya, Datuk Paduka Saleha Mohd Ali.

"Saya sebenarnya ingin berkongsi detik bermakna ini dengan ibu bapa, abang dan kakak saya kerana mereka mencorakkan diri saya seperti sekarang.

"Sepanjang perjalanan hidup saya, ramai yang turut membantu dalam pelbagai perkara dan apa yang dimiliki kini adalah hasil daripada sokongan insan ini," katanya selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Makan Malam Gala sempena Hari Wanita Kebangsaan, di sini, malam ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi ASLI, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, sambil disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam majlis sama, biasiswa Tun Dr Siti Hasmah bernilai RM10 juta menerusi Yayasan Jeffery Cheah diperkenalkan untuk bidang seni kreatif dan muzik.

Sementara itu, Jeffrey berkata pemilihan Dr Siti Hasmah bertepatan dengan peranannya sebagai wanita yang berjaya memberikan kepakaran dan pengetahuan dimiliki dalam usaha membangunkan negara.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah juga adalah doktor perubatan wanita pertama di Malaysia, juga isteri Perdana Menteri, yang banyak memberikan sumbangan yang sukar ditandingi khususnya dalam bidang perubatan dan kemasyarakatan.

Jeffrey berkata Dr Siti Hasmah dipilih kerana beliau boleh dianggap sebagai seorang ikon yang sentiasa meraikan perpaduan dan kepelbagaian kaum, agama serta budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah juga memiliki keperibadian dan ciri-ciri kepemimpinan sebenar termasuk dalam memperjuangkan hak wanita, isu keluarga dan usaha memerangi najis dadah.

"Dr Siti Hasmah berjaya memenangi hati rakyat Malaysia dengan perwatakannya yang merendah diri, menawan, tenang dan anggun.

"Beliau juga adalah ikon yang memberi inspirasi untuk Malaysia meraikan kepelbagaian rentas agama, bangsa dan budaya," katanya.

4610 dibaca
Berita Harian X