Rabu, 21 Ogos 2019 | 5:40pm

Kabinet secara prinsipnya bersetuju GoJek dilaksanakan

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini secara prinsipnya bersetuju terhadap cadangan mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, GoJek, di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata justeru Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan membuat kajian berhubung mekanisme pelaksanaan serta undang-undang berkaitan khusus untuk perkhidmatan itu di Malaysia.

“Secara prinsipnya, Kabinet hari ini bersetuju melaksanakan GoJek dengan syarat Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan berbincang secara lanjut lagi terperinci, termasuk dari sudut membuka ruang dan peluang membangunkan ekonomi anak muda serta mengemukakan undang-undang khusus mengenainya.

“Undang-undang khusus untuk GoJek belum ada lagi. Oleh itu, dua kementerian berkenaan diarah untuk menyedia dan memperincikannya bagi membenarkan GoJek dimajukan.

“Ia tidak begitu sukar, sebagai contoh undang-undang sedia ada membabitkan ‘geofencing’ (kawasan dibenarkan untuk perkhidmatan), kita tidak boleh menempatkan GoJek di lebuh raya yang akan membawa kemudaratan dari segi keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran TEKUN MART Mobile, di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini, menyatakan hasrat memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata, beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju perkhidmatan itu diperkenalkan di negara ini.

Katanya, ia bagi membantu golongan anak muda yang memiliki motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

GoJek adalah antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini dan menumpukan rangkaian pengangkutan serta permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia, dengan perkhidmatannya boleh diperoleh menggunakan aplikasi.

Sementara itu, mengulas dakwaan bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai CheguBard bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, mendakwa ada menteri dilihat membodek Perdana Menteri untuk meneruskan operasi Lynas dengan turut mengaitkannya, Mohd Redzuan berkata, keputusan Kabinet adalah konsensus serta tiada pengecualian.

“Saya adalah menteri yang tidak mahu membodek sesiapa, malah Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri juga saya memberi kritikan konstruktif, tiada masalah.

“Apa saja keputusan Kabinet adalah ‘inform decision’, ada ilmu dan fakta tepat bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan negara. Itu konsensus, tiada isu yang menyatakan kita hendak bodek Perdana Menteri.

“Tidak perlu kata kita hendak bodek Perdana Menteri. Saya akan jadi yang terakhir (sekiranya perlu) untuk bodek Perdana Menteri,” katanya.

MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof ketika sidang media selepas melancarkan Tekun Mart Mobile di Perkarangan Kementerian Pembangunan Usahawan. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X