Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:45pm
TIMBALAN Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff

Suspek kes kematian Syed Muhammad Danial didakwa esok

SHAH ALAM: Lelaki yang didakwa menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, dalam kemalangan di Kilometer 293.5, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran persimpangan Southville City dekat Bangi, pada 10 Ogos lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek berusia 40 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Kajang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan esok,” katanya ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam), hari ini.

Pada Isnin lalu, Ab Rashid memaklumkan kertas siasatan sudah dihantar kepada berhubung kes kematian Syed Muhammad Danial kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau turut mengesahkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes terbabit dan mengekalkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, suspek dan isterinya yang berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula 11 Ogos lalu sebelum reman berkenaan disambung pada Sabtu lalu.

BH sebelum ini melaporkan Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Kejadian pada jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Berita Harian X