Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:55pm
PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik. - Foto Fathil Asri

Dr Zakir dilarang ceramah semua medium - KPN

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk dalam media sosial, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

“Satu arahan sudah dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan, baru-baru ini, yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.

“Apabila keluarnya arahan ini, semua Ketua Polis Negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan bagi menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka supaya menolaknya,” katanya kepada BERNAMA.

Abdul Hamid berkata, ceramah Dr Zakir di Kelantan menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberikan masa untuk menyiasat perkara itu.

“Kami akan mendapatkan fakta-fakta yang sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

“Itu adalah arahan yang memang adil untuk mententeramkan keadaan, ia hanya bersifat sementara dan jika keadaan masih lagi berserabut, arahan tersebut akan kekal.

“Ia jelas bahawa kita tidak mahu forum-forum ceramah agama ini diselitkan dengan isu berkaitan dengan politik. Amat tidak sesuai sekali dalam ceramah-ceramah agama yang membabitkan isu-isu politik, baik dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Abdul Hamid berkata dengan arahan yang dikeluarkan itu, polis berharap tidak timbul isu bantahan sehingga keputusan muktamad diperoleh.

“Berhubung kes ini, saya tidak mahu mengatakan pihak sana salah pihak sini betul (menuding jari) sebab beberapa tindakan diambil oleh kedua-dua pihak...oleh Zakir dan juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kandungan ceramah beliau,” katanya.

Lagi berita menyusul.

4296 dibaca
Berita Harian X