Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:25pm

MOA lulus 150 AP import kubis bulat tahun ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengeluarkan 150 Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport kubis bulat, tahun ini, dengan 63 syarikat tidak diperbaharui AP sebagai langkah pemutihan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata MOA akan memantau prestasi semua syarikat diberikan AP dan mengambil tindakan sewajarnya jika tidak mencapai prestasi ditetapkan.

“Piawaian Prosedur Operasi dalam penilaian permohonan AP sudah ditambah baik bagi memastikan ketelusan pemberian AP pada peringkat Jabatan Pertanian dan kementerian.

“Pemegang AP perlu mengisi akuan bersumpah berpandukan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya ada penyalahgunaan AP,” katanya pada sidang media bagi memberi maklum balas kepada Laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Laporan dibentangkan pada 6 Ogos lalu itu antara lain menyentuh mengenai wujudnya penyalahgunaan AP untuk mengimport kubis bulat yang menyumbang kepada kenaikan harga sayur berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhuddin berkata, kenaikan harga kubis bulat disebabkan faktor perubahan musim penanaman antara Mei hingga Julai di negara pengeluar, serta faktor kadar tukaran mata wang Dolar Amerika Syarikat dengan mata wang tempatan.

“Trend peningkatan harga ini selari dengan harga produk makanan lain seperti buah-buahan, ikan dan makanan laut,” katanya.

Mengenai isu bekalan daging, Mohd Sallehhuddin berkata, MOA sudah membuka ruang pengimportan daging dari beberapa negara, iaitu Amerika Syarikat, Pakistan, Brazil, New Zealand dan negara Asia Tengah.

Beliau berkata, ada 53 pusat penyembelihan dari seluruh dunia yang boleh membekalkan daging ke Malaysia ketika ini.

“Faktor kewangan bagi menampung kos operasi perniagaan pengimportan daging yang tinggi menyebabkan hanya beberapa syarikat berupaya menjadi pengimport daging pada masa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MOA sedang dalam usaha meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang bertujuan memperluas fungsi serta bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). – BERNAMA

DATUK Mohd Sallehhuddin Hassan
Berita Harian X