Selasa, 20 Ogos 2019 | 8:32pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Aswadi Alias

Biar polis siasat Dr Zakir - Kulasegaran

PUTRAJAYA: “Biar polis lakukan siasatan”, demikian reaksi ringkas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran ketika diminta mengulas mengenai permohonan maaf oleh pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, hari ini.

Beliau juga berkata sudah bersedia dan tiada masalah sekiranya Dr Zakir ingin meneruskan saman terhadapnya kerana tidak memohon maaf berhubung dakwaan mengatakan beliau memfitnah pendakwah antarabangsa itu.

“Tiada masalah. Saya jumpa anda di mahkamah (jika Dr Zakir ingin teruskan saman). Saya (berpengalaman) 35 tahun sebagai peguam,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di sini, hari ini.

Dr Zakir menerusi satu rakaman video hari ini, memohon maaf susulan ucapannya yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Pendakwah bebas itu berkata beliau bukan seorang yang rasis dan kenyataannya sebelum ini sengaja ditokok tambah bagi mencetuskan kontroversi.

Sebelum ini, Dr Zakir turut menamakan lima individu yang didakwa memfitnah beliau menerusi satu laporan polis yang dibuatnya.

Mereka ialah Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.

Dalam pada itu, mengulas mengenai nasib kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang berkemungkinan hilang pekerjaan, Kulasegaran berkata Kementerian Sumber Manusia boleh membantu menerusi Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

“Menerusi SIP, mereka akan menerima pampasan selain latihan dan penempatan pekerjaan tetapi tidak semestinya pekerjaan yang sama,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis konvokesyen itu, beliau berkata selaras perkembangan semasa, graduan disyorkan untuk sentiasa mempelajari dan meneroka kemahiran dan ilmu baharu yang relevan dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) supaya dapat bergerak seiring dengan transformasi digital.

“Jabatan Tenaga Manusia (JTM) tidak harus ketinggalan dalam IR 4.0 dan perlu merangka strategi yang sesuai bagi memastikan institusi dapat melahirkan graduan yang menguasai teknologi terkini dalam bidang masing-masing.

“Kurikulum dan silibus perlu dipertingkatkan dengan menerapkan elemen teknologi yang terkini dalam program dan kursus yang dilaksanakan di ILJTM,” katanya.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 6,223 pelajar ILJTM yang berjaya menamatkan latihan menerima sijil, diploma dan diploma lanjutan masing-masing.

Berita Harian X