Selasa, 20 Ogos 2019 | 4:50pm
ANTHONY Loke (kiri) memberi cenderahati kepada penumpang ketika menaiki koc monorel yang baharu dari Stesen Monorel KL Sentral menuju ke Stesen Monorel Bukit Nanas bagi menyambut Sambutan Ulang Tahun Ke-16 Sistem Pengangkutan Monorel. - Foto BERNAMA

Kerajaan terbuka cadangan sedia khidmat GoJek

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima kertas cadangan daripada pelabur swasta dalam perkhidmatan pengangkutan termasuk cadangan daripada perkhidmatan teksi motosikal, GoJek.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata cadangan mengenai perkara itu juga akan dibentangkan kepada kabinet oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan kementeriannya akan meneliti perkara itu dari setiap sudut termasuk implikasi perkhidmatan itu.

Loke berkata, jika ia mendapat sokongan Kabinet, kementeriannya akan mengambil alih pelaksanaan perkhidmatan GoJek dan akan menjalankan kajian terlebih dulu.

Malah, beliau berkata pengurusan GoJek baru-baru ini sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kementerian Pengangkutan juga, katanya tidak menolak pelaksanaan perkara ini jika bakal memberi manfaat kepada semua, namun ia perlu menjalani kajian secara mendalam.

“Kita tidak mahu akan berlaku implikasi negatif kelak jika ia dilaksanakan secara tergesa-gesa. Ekosistem secara keseluruhannya perlu diteliti, perlu lihat bagaimana keselamatan dapat dipertingkatkan.

“Kementerian akan memberikan sokongan dan akan memastikan perkhidmatan penangkutan di negara kita selamat untuk semua pihak. Ia juga akan mengukuhkan lagi sektor pengangkutan awam negara.

“Namun, keputusan muktamad tidak diputuskan lagi. Kementerian sentiasa terbuka dan menggalakkan lebih banyak pelabur swasta domestik dan antarabangsa menjalankan pelaburan dalam sektor pengangkutan awam di Malaysia, sekali gus mengelakkan sistem monopoli daripada berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian kenderaan empat gerabak Monorel di sini, hari ini.

Syed Saddiq baru-baru ini berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan ojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

GoJek adalah antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini dan menumpukan kepada rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

Perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi.

Berita Harian X