Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:35pm
Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dikatakan gagal membayar gaji pekerja sejak Julai lalu. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PERKESO sedia bantu kakitangan Utusan Melayu

ALOR SETAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedia membantu kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang berkemungkinan hilang pekerjaan melalui Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata perkara itu pernah dilakukan sebelum ini kepada sebahagian bekas pekerja syarikat itu yang mengambil skim pemisahan sukarela (VSS).

“Menerusi SIP, mereka boleh menerima faedah termasuk bantuan kewangan, latihan vokasional dan penempatan pekerjaan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.

“Jadi bagi kakitangan Utusan Melayu yang berkemungkinan hilang pekerjaan, kita akan bantu mereka ke sektor pekerjaan yang sesuai dengan mereka atau di luar bidang yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Anak-Anak Parlimen Pokok Sena Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2019 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kerajaan sebenarnya tidak lepas tangan dalam masalah yang dihadapi kakitangan Utusan Melayu, sebaliknya sudah mengadakan pertemuan dengan majikan dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ).

Katanya, terbaharu pertemuan kementeriannya bersama majikan dan kesatuan itu diadakan semalam, namun beliau belum mendapat maklumat mengenai hasil perbincangan berkenaan.

“Saya akan minta pihak kementerian buat satu kenyataan sebaik sahaja maklumat hasil perbincangan itu diperolehi nanti.

“Sebelum berlaku proses VSS, kementerian sudah melakukan pertemuan dengan majikan yang diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir serta NUJ, kita mencadangkan kakitangan yang mengambil VSS diberi lebih daripada apa yang ditawarkan dan akhirnya majikan mereka setuju.

“Tetapi malangnya pampasan yang dibayar juga gagal dipenuhi, begitu juga dengan tunggakan gaji kakitangan mereka sekarang kerana jika diikutkan undang-undang, majikan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Semalam, lebih 300 kakitangan termasuk bekas pekerja VSS mengadakan piket di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur bagi mendesak majikan mereka membayar gaji dan pampasan yang tertunggak.

Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dikatakan gagal membayar gaji pekerja sejak Julai lalu.

779 dibaca
Berita Harian X