Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:21pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Bahan api sulfur rendah dijamin mencukupi

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api sulfur rendah mencukupi bagi memenuhi permintaan industri perkapalan di negara ini, menjelang penguatkuasaan peraturan had sulfur baharu, tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dengan jumlah simpanan sebanyak lima tan dan kemudahan campuran di West Port Bunkering Services di Pelabuhan Klang, Selangor dan Vitol di Tanjung Bin serta Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, bekalan bahan api itu mencukupi bagi memenuhi keperluan segera industri berkenaan.

“Selain itu, aktiviti Kapal untuk Kapal (STS) yang diluluskan di Tanjung Pelepas, Melaka dan Kuala Linggi dijangka akan menyediakan bekalan bagi sebarang permintaan tambahan untuk bahan api sulfur rendah dalam industri perkapalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Bahan Api Bunker Sulfur Rendah 2020: Menilai Kesediaan Pelabuhan Malaysia Untuk Menjadi Peneraju Hab Bunkering di sini, hari ini.

Di bawah had sulfur baharu, kapal perlu menggunakan bahan api dengan kandungan sulfur dikurangkan kepada 0.5 peratus daripada had semasa 3.5 peratus, berkuat kuasa 1 Januari depan dan selewat-lewatnya dilaksanakan pada 1 Mac.

Loke berkata, perkhidmatan bunkering (pengisian minyak) adalah salah satu aktiviti penting oleh kapal di pelabuhan, justeru selain penyediaan bekalan yang dipercayai, pemilik kapal dan penyewa perlu memastikan kecekapan perkhidmatan, kualiti bahan api, cara yang telus bagi menentukan kuantiti yang betul dan pematuhan kepada piawaian pencegahan keselamatan serta pencemaran berada pada tahap tertinggi.

“Berdasarkan jumlah kapal yang banyak terutama di Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas serta melalui Selat Melaka, terdapat potensi yang besar untuk kapal ini menjadi bunker di pelabuhan di sepanjang Selat tanpa perlu menanggung sebarang kos lencongan.

“Dalam merealisasikan potensi ini, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Laut Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pengendali Terminal bekerjasama rapat dengan syarikat perkapalan domestik dan antarabangsa, pembekal bunker dan jentera minyak khususnya Petronas, untuk memastikan rangka kerja yang sistematik dan cekap disediakan bagi menangani kebimbangan semua pihak,” katanya.

Selain itu katanya, di bawah Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Malaysia, kerja intensif sedang dijalankan membabitkan pihak berkepentingan dalam beberapa bidang, termasuk pengenalpastian isu berkaitan bekalan dan permintaan bunker, pelesenan penyedia perkhidmatan, aspek integriti, kecekapan kakitangan, piawaian pembinaan dan operasi kapal bunker.

“Penekanan yang sama juga akan diberikan bagi merumuskan dasar kerajaan yang akan merangsang dan mensimulasikan industri yang memberi impak ekonomi yang besar, yang boleh diperoleh daripada industri bunkering,” katanya.

165 dibaca
Berita Harian X