Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:16pm
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Asyraf Hamzah

Perkukuh sistem audit dalam kementerian dan agensi kerajaan

KUALA LUMPUR: Pengurusan dana awam yang lebih baik dapat dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan sekiranya sistem audit dalaman diperkukuhkan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu diharapkan dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem berkenaan untuk mengesan sebarang penyelewengan dalam kalangan penjawat awam.

Pada masa sama, beliau berkata, sistem semak dan imbang perlu dibuat dalam proses kelulusan dan perolehan supaya tidak ada ruang untuk penipuan.

“Sistem audit dalaman dalam kementerian dan jabatan kerajaan juga perlu diperkukuhkan supaya kawalan pengurusan dana awam yang lebih baik dapat dilaksanakan. Sistem audit dalaman juga mestilah berkesan dan cekap untuk mengesan penyelewengan.

“Sistem pemantauan juga perlu diperkukuhkan supaya keberkesanan kawalan dan integriti urus niaga dapat dinilai dengan berkesan.

“Saya percaya bahawa pemupukan nilai-nilai murni dan etika serta kepatuhan terhadap aku janji tadbir urus yang baik adalah cara paling berkesan untuk memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendedahkan separuh daripada kes rasuah di negara ini membabitkan penjawat awam dan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.

Menurut Latheefa, statistik SPRM menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun tahun ini, adalah kakitangan awam.

Berdasarkan kajian dijalankan SPRM turut mendapati sebanyak 22.1 peratus responden penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah.

Bagi membendung budaya rasuah di peringkat awal, Lam Thye mencadangkan pengenalan subjek baharu mengenai integriti.

Menurut beliau, subjek itu perlu diperkenalkan atau sekurang-kurangnya dimasukkan dalam semua program latihan atau sukatan pelajaran sedia ada untuk kakitangan awam termasuk yang dilaksanakan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

“Pada masa yang sama, kerajaan juga harus memperkenalkan kurikulum baru di sekolah bagi membolehkan para pelajar mempelajari kesan negatif rasuah dan mengapa ia tidak boleh diterima.

“Masanya amat bertepatan kerana nilai murni dan integriti harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah.

“Ia dapat membantu mengembangkan budaya kejujuran dan amanah agar menjadi cara hidup pemimpin masa hadapan,” katanya.

157 dibaca
Berita Harian X